top of page

'Himpunan bantah harga minyak sia-sia, kenaikan krisis global' - AMK Johor

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Himpunan bantah kenaikan harga minyak yang digerakkan pembangkang pada Ahad ini disifatkan sebagai tindakan sia-sia dan tidak membantu menyelesaikan isu sebenar dihadapi rakyat.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, tindakan tersebut hanya membuang masa serta cuba mengelirukan rakyat dengan naratif yang tidak tepat berhubung situasi harga minyak semasa.


"Himpunan bantah harga minyak yang digerakkan pembangkang jelas hanya membuang masa dan cubaan untuk membodohkan rakyat," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, pembangkang cuba menggambarkan seolah-olah kenaikan harga minyak hanya berlaku di Malaysia, sedangkan hakikatnya krisis tenaga global susulan konflik di Timur Tengah turut memberi kesan kepada banyak negara lain.


Katanya, beberapa negara pengeluar minyak utama turut mengambil langkah menaikkan harga bahan api dan tenaga.


"Contohnya UAE telah menyemak naik harga petrol dan diesel bagi April 2026, manakala Saudi Aramco dan Sonatrach Algeria pula menaikkan harga rasmi LPG antara 38% hingga 80%," jelasnya.

 Faezuddin Puad
 Faezuddin Puad

Tambah beliau, negara-negara di rantau ASEAN juga tidak terkecuali daripada tekanan tersebut, termasuk Filipina yang telah mengisytiharkan darurat tenaga nasional oleh Ferdinand Marcos Jr. pada 24 Mac lalu.


Selain itu, Thailand turut menaikkan harga diesel dan petrol berkuat kuasa awal April, manakala Indonesia serta Singapura juga terkesan dengan kenaikan harga global.


"Adalah tidak jujur untuk pembangkang memutar belit fakta seolah-olah semua ini berlaku kerana kelemahan kerajaan semata-mata, sedangkan negara-negara lain di rantau ini juga sedang bergelut dengan tekanan yang sama," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tetap berusaha melindungi rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk subsidi bahan api.


"Kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah sekitar RM4 bilion sebulan," ujarnya.


Menurutnya, harga RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kekal RM1.99 seliter, manakala diesel bagi kumpulan sasaran kekal RM2.15 seliter, selain bantuan seperti BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi yang dinaikkan kepada RM300 sebulan.


Beliau turut menasihatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan himpunan yang disifatkan tidak membawa penyelesaian.


"Jangan buang masa hadir ke himpunan yang tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya menjadi pentas pembangkang menunggang kemarahan rakyat," katanya.


Tambahnya, pembangkang juga dilihat gagal mengemukakan cadangan alternatif yang kukuh untuk menangani krisis berkenaan.


"Kalau ketika menjadi pembangkang pun mereka sudah ketandusan idea, bagaimana rakyat mahu yakin mereka mampu menjadi kerajaan yang lebih baik apabila diberi peluang memerintah?" tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page