Dialog rentas parti: Langkah matang, berani PM atasi sempadan politik
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuka ruang perbincangan rentas parti sebagai langkah matang dalam mendepani cabaran ekonomi dan krisis global ketika ini.
Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairuddin berkata pendekatan tersebut mencerminkan keberanian kepimpinan negara dalam meletakkan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik.
"Dalam suasana dunia yang mencabar dan tekanan ekonomi yang dirasai rakyat seluruh dunia, pendekatan ini adalah satu langkah matang dan berani meletakkan kepentingan Malaysia mengatasi sempadan politik kepartian," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, ruang perbincangan rentas parti merupakan peluang terbaik untuk semua pihak kembali kepada asas perjuangan sebenar iaitu membela nasib rakyat.

"Perbincangan rentas parti bukan soal siapa menang atau kalah, tetapi bagaimana kita bersama-sama mencari penyelesaian dan membantu menangani krisis tenaga global. Rakyat tidak mahu melihat perbalahan tanpa noktah," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut membuka dimensi baharu dalam landskap politik negara yang lebih menekankan dialog berbanding perpecahan.
"Kita perlu hentikan budaya politik yang memecah-belahkan rakyat dengan sentimen sempit. Sebaliknya, ruang perbincangan ini harus dimanfaatkan sebagai platform untuk meredakan ketegangan, membina persefahaman dan mengangkat agenda rakyat sebagai keutamaan bersama," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru pihak pembangkang agar menyambut usaha tersebut dengan sikap terbuka dan bertanggungjawab.
"Ini bukan masa untuk menolak atau mempolitikkan setiap inisiatif, tetapi masa untuk menunjukkan kematangan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, terutama ketika negara dan dunia sedang berdepan krisis tenaga serta ketidaktentuan geopolitik," jelasnya.
Tambah beliau, peluang untuk duduk semeja dan mencari titik persamaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan negara.
"Jika benar kita semua mahu yang terbaik untuk negara, maka inilah peluangnya untuk duduk semeja, berbincang dan mencari titik persamaan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat kini menilai tindakan pemimpin berdasarkan usaha menyelesaikan masalah, bukan sekadar retorik politik.
"Rakyat sedang memerhati. Mereka menilai bukan pada siapa paling lantang, tetapi siapa yang benar-benar berusaha menyelesaikan masalah mereka. Politik hari ini harus bergerak ke arah penyelesaian, bukan pertikaian. Dan langkah Perdana Menteri ini adalah satu permulaan yang tepat ke arah itu,” katanya.
