Tuisyen Rakyat Selangor manfaatkan 160,000 pelajar bermula Mei
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 1 min read

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2026 akan bermula bulan hadapan di seluruh sekolah di negeri ini, dengan seramai 160,000 pelajar Tingkatan Empat dan Lima dijangka menerima manfaat menerusi penyediaan lapan modul pembelajaran baharu.
Ketua Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor, Ahmad Azri Zainal Nor berkata sebagai persediaan pelaksanaan program itu, sesi penyerahan modul PTRS kepada semua sekolah sedang dilaksanakan minggu ini mengikut penyelarasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"Bagi tahun ini sebanyak lapan modul telah disediakan termasuk dua modul baharu bagi subjek Fizik dan Kimia untuk mengukuhkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Sekitar 160,000 pelajar tingkatan Empat dan Lima akan menerima manfaat melalui program ini," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Modul PTRS Peringkat PPD Petaling Perdana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Ahmad Azri berkata, selain modul PTRS, agihan turut melibatkan modul Program Didik Kasih (PDK) yang disasarkan kepada murid kelas pemulihan bagi meningkatkan penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Katanya, lebih 17,000 murid sekolah rendah dijangka menerima manfaat melalui program berkenaan.
Dalam majlis sama, beberapa reruai pendidikan turut dibuka melibatkan Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Islam Selangor (UIS), Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dan E-PTRS bagi menyebarkan maklumat berkaitan produk pendidikan yang ditawarkan kerajaan negeri.
Ahmad Azri berkata PTRS merupakan antara produk pendidikan unggul Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, yang dikelolakan bersama Yayasan MBI dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).




Comments