Tuduhan terhadap MyKiosk tidak berasas, fitnah penjawat awam
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Tindakan pihak tertentu yang cuba membawa persepsi negatif terhadap projek MyKiosk yang sedang diusahakan kerajaan dipersoal.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid menegaskan, tuduhan jahat yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu tidak berasas, bersifat prejudis.
Lebih teruk tindakan itu mencerminkan ketidakfahaman terhadap struktur dan proses kerajaan tempatan, sehingga mencemarkan nama baik penjawat awam.yang terlibat dalam proses perolehan projek itu.
"MyKiosk adalah projek berimpak tinggi untuk memperkasakan penjaja kecil, menangani kemiskinan bandar serta menyediakan kemudahan lebih selesa dan selamat kepada peniaga.
"Tuduhan yang dilemparkan ialah tindakan untuk meraih keuntungan politik jangka pendek dengan cara memperlekeh usaha kerajaan memperkasa ekonomi rakyat marhaen," katanya menerusi satu kenyataan media.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) sementara itu menegaskan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai peneraju kepada projek itu hanya berperanan untuk menyediakan dan menyalurkan peruntukan.
Manakala, pelantikan kontraktor MyKiosk dijalankan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka yang mematuhi garis panduan kewangan dan tatacara perolehan yang ditetapkan.
"Setakat ini, seramai 795 kontraktor telah dilantik di seluruh negara.Semua pelantikan dilakukan secara telus oleh PBT mengikut keperluan kawasan.
"Sebagai mantan Ahli Majlis MBSA, saya amat memahami bahawa proses perolehan di peringkat PBT dijalankan secara profesional, melibatkan pelbagai lapisan pegawai dan audit dalaman. Ia bukan keputusan individu, sebaliknya satu sistem yang memerlukan semak dan imbang yang rapi," ujarnya.
Sehubungan itu beliau menggesa agar segala permainan persepsi murahan itu dihentikan segera supaya tidak mengganggu usaha murni kerajaan untuk memartabatkan penjaja kecil dan menyokong pertumbuhan ekonomi rakyat.