Tuduhan berterusan pembangkang kononnya berlaku skandal dalam projek tertentu Kerajaan Negeri Selangor merupakan tuduhan tidak berasas yang telah dijawab berulang kali.
Hal itu ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang media pagi tadi.
Menurut beliau, pihak pembangkang PN cuba mencari jalan untuk mencipta gelombang sokongan menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini dengan menabur fitnah dan mengharapkan rakyat Selangor marah kepada Kerajaan Perpaduan.
"Mereka (pembangkang) galak menabur fitnah dan mengitar semula dakwaan. Sebahagian dakwaan ini telah dijawab dalam Dewan Negeri. Isu Selangor Maritime Gateway (SMG) telah dijawab berulang kali. Dua kali oleh YB Izham, proses, tuduhan, termasuk keupayaan syarikat.
"Sebab itu dari awal pihak syarikat telah mengeluarkan saman kepada mereka yang terlibat. Peguam saya juga teliti, esok atau Khamis akan sampai (surat tuntutan) kepada Sanusi (MB Kedah).
"Begitu juga kes Bukit Lagong (kuari). Telah dijawab bukan sekali tetapi berulang kali. Mereka boleh cari di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kenapa tidak cari di hansard Dewan Negeri?
"Bagi saya hal ini melihat begitu terdesaknya PN mencipta isu lalu menggunakan fitnah, tuduhan palsu dan dakwaan tidak berasas (membangkitkan kemarahan)," katanya.
Di samping itu, Amirudin juga memuji kebijaksanaan pemimpin Pas Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi yang tidak hadir dalam sidang media memfitnah Kerajaan Negeri semalam kerana katanya beliau sedar mengenai kedudukan sebenar isu yang dibawa oleh beberapa orang 'pencacai' PN.
Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu juga membangkitkan isu syarikat Landasan Lumayan yang dipertikaikan oleh pembangkang.
Sedangkan katanya, syarikat tersebut dilipih ketika Azmin Ali menjadi MB Selangor, dan tiada kena mengena dengan beliau.
Juga berkenaan projek pembersihan Sungai Kelang yang telah berulang kali dijawab oleh ADUN Pandan Indah yang juga Exco Kerjaraya, Ir Izham Hashim.
"Saya percaya ini menunjukkan keterdesakan mereka dan mereka cuba mengebangkan fitnah dan dakwaan.
"Saya percaya pemimpin utama pembangkang, baik Bersatu dan Pas telah tahu risiko dibangkitkan (membangkitkan isu yang telah dijelaskan)," katanya.
Fitnah, kata Amirudin terpaksa digunakan kerana tawaran manifesto PN tidak berjaya menarik perhatian majoriti pengundi Selangor.
Rakyat, katanya, lebih teruja dengan manifesto 5 Teras yang diumumkan oleh Kerajaan Perpaduan Selangor.
"Manifesto yang kita bentangkan dengan 5 Teras itu mendapat sambutan baik terutama program baucar buku, program insentif muasasah haji dan tidak ketinggalan penjanaan ekonomi yang ditawarkan dengan pembinaan sistem rel dan pembinaan bandar baru yang disebut dalam tawaran itu termasuk SMG.
"Saya juga dapat maklum, tawaran dikemukakan pihak lawan dari PN menggunakan polisi yang sebahagian kita telah laksanakan.
"Bila ditawarkan subsidi sekolah KAFA. Itu kita laksana 2 tahun lepas. Bila ditawar dengan kenaikan gaji, itu sedikit perubahan. Program kebajikan kita dah buat, tetapi bagi saya tawaran ekonomi mereka agak lemah dalam memulihkan negeri dan proses pembangunan semula selepas Covid 19," katanya lagi.
Comments