Tuduhan SARA RM100 “sistem komunis” tidak berasas – MAPIM
- Suara Keadilan
- 11 hours ago
- 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan tuduhan Ahli Parlimen Temerloh yang melabel program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sebagai “sistem komunis” adalah tidak berasas dan mengelirukan.
MAPIM dalam satu kenyataan berkata, dakwaan itu bukan sahaja memperlekeh dasar kebajikan Kerajaan Madani, malah menimbulkan salah faham terhadap usaha membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi tekanan ekonomi semasa.
"Program SARA RM100 bukan usaha menyamaratakan kekayaan atau pendapatan rakyat. Ia adalah langkah kebajikan berteraskan keadilan sosial bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terpinggir dalam akses kepada barangan asas," kata kenyataan itu.
Menurut MAPIM, perbandingan dengan sistem komunis adalah tidak tepat kerana komunisme melibatkan penyamarataan pemilikan harta, sedangkan SARA RM100 dibiayai melalui dana kerajaan hasil cukai dan pendapatan negara.
"Langkah ini menunjukkan kerajaan berfungsi sebagai pelindung sosial, bukan penguasa ekonomi seperti dalam sistem komunis," katanya.
Mengulas dakwaan bahawa hanya pasar raya besar mendapat manfaat daripada pelaksanaan program itu, MAPIM menjelaskan penggunaan rangkaian runcit besar pada peringkat awal bertujuan menjamin ketelusan, pemantauan digital dan kawalan harga.
"Kerajaan juga telah menyatakan komitmen untuk melibatkan kedai runcit tempatan, koperasi komuniti dan peniaga kecil dalam fasa seterusnya supaya manfaat ekonomi kembali kepada rakyat di akar umbi," katanya lagi.
MAPIM turut menegaskan bahawa dasar kebajikan negara mesti berpaksikan keadilan sosial, bukan kesamarataan buta seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.
"SARA RM100 berperanan sebagai jaring keselamatan asas agar setiap keluarga mempunyai keupayaan minimum menghadapi peningkatan kos hidup. Ini dasar Madani yang menyeimbangkan tanggungjawab kerajaan dan keperluan rakyat – bukan dasar komunis, tetapi dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sosial," tegasnya.
MAPIM menyeru agar perbahasan mengenai dasar kebajikan dilakukan secara berhemah dan berasaskan fakta, bukan tuduhan ideologi yang menyesatkan.
"Program SARA RM100 ialah langkah positif ke arah sistem kebajikan moden, digital dan telus. Kerajaan wajar terus menambah baik mekanisme pelaksanaan dengan melibatkan lebih banyak kedai komuniti dan koperasi tempatan," kata kenyataan itu lagi.





