Tuduhan pemimpin KEADILAN terima RM9.5 juta cubaan bina persepsi jahat
- Akmal Manaf

- 6 hours ago
- 2 min read

Dakwaan tular yang mengaitkan kononnya seorang Ahli Parlimen KEADILAN menerima RM9.5 juta disifatkan sebagai kenyataan sebelah pihak yang tidak disokong bukti sah setakat ini, tegas KEADILAN Johor.
KEADILAN Johor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius tuduhan berkenaan yang tidak seharusnya dijadikan bahan untuk membina persepsi negatif dan naratif jahat bagi mencemarkan nama baik parti serta pimpinan KEADILAN.
"Sekiranya benar wujud sebarang salah laku seperti yang didakwa, KEADILAN Johor menggesa individu tersebut agar segera pulang ke Malaysia dan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Hanya melalui saluran undang-undang yang sah, kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat dilaksanakan.
"KEADILAN Johor berdiri teguh mempertahankan pimpinan parti daripada sebarang tuduhan tidak munasabah dan tidak berasas selagi mana ia tidak dibuktikan melalui proses siasatan yang telus dan berwibawa," katanya.
Dalam pada itu, KEADILAN Johor menegaskan bahawa parti tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah atau salah guna kuasa.
Katanya, jika terdapat bukti yang sah dan laporan rasmi dibuat kepada SPRM, KEADILAN Johor akan menyokong sepenuhnya sebarang usaha siasatan demi menegakkan integriti serta prinsip keadilan.
"Kami menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan fitnah atau spekulasi yang boleh merosakkan reputasi individu dan institusi tanpa asas yang kukuh.
"Hormatilah prinsip kedaulatan undang-undang dan biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka secara profesional," ujarnya lagi.
baru baru ini, seorang usahawan Victor Chin mendakwa beliau telah memberi sejumlah wang kepada seorang pemimpin KEADILAN bagi menyelesaikan masalahnya menghadapi 'mafia korporat'.
Lantaran itu, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan undang undang terhadap mana mana cubaan memburukkan pimpinan parti.
"Tuduhan tanpa bukti kukuh dibuat lebih-lebih lagi oleh pihak yang terdesak untuk melepaskan diri salah laku mereka sendiri tidak wajar dilayan sebagai fakta, apatah lagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti.
"Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti," kata Dr Fuziah dipetik.




Comments