Tuduhan bekas Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad kononnya Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan kleptokrasi amat tidak masuk akal.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, kleptokrasi adalah sesuatu yang tidak sinonim dengan PM semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah mengumpul harta sama ada ketika beliau menjadi Timbalan PM (1992 - 1998) mahu pun PM pada ketika ini.
Malah tuduhan sedemikian katanya, lebih tepat kepada diri Tun Mahathir sendiri.
"Kenyataan Mahathir bahawa kerajaan ini adalah kerajaan kleptokrasi tidak berasas kerana seperti yang kita lihat Perdana Menteri hari ini tidak mengumpul kekayaan sepanjang menjadi Perdana Menteri, tidak seperti Mahathir yang bukan sahaja mengumpul kekayaan untuk diri sendiri malah anak-anaknya juga.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersih dari sebarang tuduhan mahupun terkait isu melibatkan rasuah serta salahguna kuasa," kata Razeef dalam satu kenyataan.
Manakala tuduhan tidak bijak memimpin atau kakistokrasi, katanya, tidak ada bukti kerana berbanding kepimpinan Mahathir selama 22 bulan pada 2018 - 2020 yang dijatuhkan akibat kelemahan beliau, kepimpinan Anwar ternyata berjaya memulihkan bekalan makanan dan meningkatkan pelaburan langsung asing.
"Begitu juga bila beliau mengatakan kerajaan hari ini kerajaan kakistokrasi, iaitu kerajaan yang tidak tahu memimpin. Apa yang kita lihat hanya dalam tempoh lapan bulan kerajaan ini menunjukkan kecemerlangan.
"Saya mengambil contoh penurunan harga barang seperti minyak masak, harga ayam, tepung dan banyak lagi keperluan asas lain.
"Malah ketika harga barang seluruh dunia menampakkan peningkatan, kerajaan hari ini cuba mengawal kenaikan serta mengekalkan subsidi walau berdepan dengan krisis ekonomi global.
"Begitu juga tindakan pantas kerajaan menyelesaikan kekurangan bekalan makanan seperti telur, ayam, bawang dan banyak lagi yang gagal dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional yang beliau sokong hari ini," katanya.
Sebaliknya, kata Razeef, tuduhan kleptokrasi dan kakistokrasi Mahathir itu lebih mudah untuk dilihat masalahnya dalam barisan kepimpinan PN yang pernah menerajui negara selama 3 tahun tetapi disifatkan oleh rakyat sebagai kerajaan gagal.
"Jika dilihat dan didengar, ucapan Mahathir lebih kepada sindiran terhadap Perikatan Nasional. Kerana kerajaan Perikatan Nasional dahulu adalah kerajaan paling gagal dalam sejarah tanah air.
"Saya ingin menegaskan Mahathir sudah tidak relevan apatah lagi beliau ditolak oleh rakyat sehingga hilang wang pertaruhan semasa PRU15 lalu. Bukankah ini cukup hina buat beliau yang sebelum ini digelar negarawan?" tanyanya.
Justeru Razeef mengingatkan Tun mahathir agar tidak dipergunakan oleh Pas dan Bersatu menyerang Kerajaan Perpaduan sedangkan kedudukan beliau boleh dihormati sebagai negarawan pada penghujung usianya.
"Mahathir mungkin boleh bangga diri kerana dikutip oleh Pas yang pernah beliau gelar dengan pelbagai gelaran kesat, namun beliau tidak sedar beliau hanya diperguna di akhir hayat beliau.
"Percayalah, apa yang keluar dari mulut Mahathir tidak boleh dipercayai seperti yang diperkatakan beberapa pemimpin Pas sebelum ini tentang Mahathir," katanya lagi.
ความคิดเห็น