Tuduhan Albert Tei tohmahan palsu - Wanita dalam video
- Suara Keadilan

- Nov 27
- 1 min read

Seorang wanita menafikan tohmahan bahawa beliau merupakan proksi kepada mantan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Sofia Rini Buyong menerusi satu video, menolak dakwaan tersebut yang dibuat ahli perniagaan Albert Tei, dan menyifatkannya sebagai ‘palsu dan tohmahan’.
"Saya ingin membuat kenyataan terhadap kenyataan yang dibuat oleh penama, Albert Tei, yang telah buat rakaman video kononnya ada arahan daripada saya atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PMX) untuk beliau membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
"Saya menegaskan di sini bahawa saya bukan proksi kepada Shamsul," katanya.

Dalam video yang dikeluarkan oleh Tei sebelum ini, beliau dilihat bercakap dengan seorang wanita yang didakwa bernama Sofia, yang kononnya berkata Anwar memberi lampu hijau untuk merakam secara rahsia beberapa ahli politik Sabah berhubung skandal perlombongan di negeri itu.
Tei sebelumnya mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh membantu mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Bagaimanapun, Shamsul yang meletakkan jawatan semalam bagi membolehkan siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk SPRM dijalankan secara telus menafikan tuduhan tersebut dengan menegaskan ia adalah fitnah dan konspirasi jahat untuk mencalarkan imej Perdana Menteri dan kerajaan.
Beliau turut membuat laporan polis terhadap Tei petang semalam bagi memastikan dakwaan tanpa asas itu tidak terus menular dan menjejaskan keyakinan awam, terutama ketika suasana politik negeri memanas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung minggu ini.









Kebenaran akan terselah