top of page

Tuduhan ADUN Pas terhadap IPTA dianggap fitnah serius

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • Jun 16
  • 1 min read
Kredit foto: Google
Kredit foto: Google

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap seorang pemimpin Pas berhubung tuduhan tidak berasas berkaitan sistem kemasukan ke Universiti Awam.


Kementerian itu menerusi kenyataan pada Isnin berkata, pihaknya memandang serius tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah yang kononnya Universiti Awam sedang ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’.


Ia termasuk satu lagi dakwaan Haim Hilman kononnya puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui ‘pintu belakang’.


"Tuduhan ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk Universiti Awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah.


"KPT sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, Universiti Awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas," kata kenyataan tersebut.


Haim Hilman membuat dakwaan itu di hadapan penyokong pembangkang dalam satu ceramah politik Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan di Markas Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu.


KPT dalam kenyataan sama menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana individu atau pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat.


Dalam perkembangan berkaitan, Universiti Utara Malaysia (UUM) membuat laporan polis berhubung dakwaan Haim Hilman.


Laporan polis itu dibuat Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UUM, Bakhari Che Mohamed Ariff di Balai Polis Bukit Kayu Hitam di Kedah semalam.


Bakhari mendakwa kenyataan Haim Hilman boleh memberi gambaran negatif kepada masyarakat terhadap kerajaan, universiti awam dan sistem kemasukan pelajar ke universiti awam.


Malah berpotensi menimbulkan kegusaran, kemarahan, keresahan dan hilang kepercayaan orang ramai terhadap universiti awam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page