top of page

Tuduh kes rasuah ada campur tangan politik, ulangi skrip lama - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Helmi Foad


Dakwaan Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin bahawa penahanan dan pendakwaan rasuah ke atasnya sebagai hasil campur tangan politik dianggap cubaan mengulangi skrip lama yang tidak lagi dipercayai rakyat.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, dakwaan tersebut tidak berasas malah dilihat memperbodohkan rakyat kononnya kerajaan hari ini mengulangi amalan zaman lampau yang mana pemerintah pernah campur tangan terhadap agensi penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman.


"Bila kes sudah didakwa di mahkamah tetapi masih menuduh kerajaan campur tangan, itu bukan hujah — itu sindrom penafian politik.


"Kalau ikut logik seperti itu, saman trafik pun mungkin disalahkan pada kerajaan pusat," bidas Mahfuz dalam kenyataan hari ini.


Pada Isnin lalu, Azman yang pernah menjadi Exco kerajaan negeri Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan bersubahat dalam kes rasuah RM400,000.


Tuduhan itu berkaitan projek penternakan lembu pedaging Kerajaan Negeri Kedah lima tahun lalu.


Sehubungan itu, Mahfuz mengingatkan zaman kegelapan ketika kerajaan benar-benar menekan institusi kehakiman sudah berakhir sejak Kerajaan Perpaduan berkuasa.


Kata beliau pembangkang sekarang tidak layak menggelarkan diri mereka mangsa, sedangkan hakikat sejarah menunjukkan tokoh-tokoh besar negara seperti bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjadi mangsa sebenar campur tangan politik.


"Tun Salleh dipecat sebagai Ketua Hakim Negara dalam krisis kehakiman 1988. Anwar pula pernah merasai sendiri bagaimana proses penyiasatan dan mahkamah disalahguna untuk menghancurkan musuh politik.


"Itu campur tangan sebenar. Itu kezaliman yang tercatat dalam sejarah," katanya.


Beliau berkata, dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa mereka dizalimi kini kelihatan tidak lebih daripada strategi politik untuk meraih simpati kerana setiap kes melibatkan mereka disiasat berdasarkan aduan dan bukti.


"SPRM bertindak ikut bukti, pendakwa raya buat keputusan bebas, mahkamah tentukan tanpa campur tangan eksekutif. Tapi pembangkang tetap ulang skrip basi ‘ini politik’."


Mahfuz turut menyindir bahawa kerosakan imej PN bukan berpunca daripada kerajaan sebaliknya akibat tindakan pemimpin mereka sendiri.


Beliau berkata semakin banyak kes dan pendedahan berlaku, semakin jelas bahawa persepsi negatif terhadap PN terbentuk akibat kelakuan pemimpin parti itu sendiri.


"Kalau mahu bersihkan imej, bersihkan parti sendiri dulu. Jangan salahkan kerajaan bila perbuatan sendiri membawa padah," katanya.


Beliau menegaskan bahawa rakyat semakin muak dengan drama politik yang berulang, termasuk dakwaan kononnya menjadi mangsa fitnah setiap kali berdepan undang-undang.


"Jika benar tidak bersalah, buktikan di mahkamah. Jangan berselindung di sebalik persepsi," kata Mahfuz lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page