Tubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen memantau hal ehwal pilihan raya - Bersih 2.0



Bersih 2.0 menyambut baik pembaharuan yang dilakukan Kerajaan Persekutuan berkenaan keahlian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) sesuai dengan saranan Pakatan Harapan dalam memorandum kerjasama Perikatan Nasional dan PH.


Dalam satu kenyataan, NGO berkenaan turut menyambut baik jumlah ahli JPKP yang telah ditambah kepada sembilan orang dan nisbah di antara wakil rakyat parti kerajaan dan parti pembangkang telah diperbetulkan kepada 5:4, mencerminkan kekuatan sebenar masing-masing dalam Parlimen.


Bagaimanapun, Bersih 2.0 mencadangkan agar satu jawatankuasa tetap ditubuhkan bagi memantau pilihan raya dan keperluan pilihan raya di Malaysia.


"Kami juga menerima baik cadangan untuk menubuhkan satu JPKP baru iaitu JPKP Hal Ehwal Antarabangsa dan kami harap ini akan merangkumi kawal selia Parlimen terhadap hak dan tanggungjawab Malaysia di bawah undang-undang antarabangsa yang ditandatangani oleh kerajaan, termasuk isu seperti perubahan iklim dan lain-lain.


"Selain itu, Bersih 2.0 ingin mengesa pindaan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat supaya satu jawatankuasa tetap (Standing Committee), seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), berkenaan hal-hal dan isu pilihan raya ditubuhkan bagi mengawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas dan isu-isu penambahbaikan sistem pilihan raya yang tidak tertakluk kepada bidang kuasa

mana-mana kementerian.


"Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya amat penting ditubuhkan terutamanya bagi membincang pelaksanaan pilihan raya dalam keadaan pandemik yang masih belum reda dan kita masih mempunyai 5 pilihan raya (2 pilihan raya negeri dan 3 pilihan raya kecil) yang masih tertangguh," kata NGO tersebut dalam satu kenyataan.


Menurut mereka, keperluan Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya dalam Parlimen adalah kerana sistem dan isu pilihan raya amat penting untuk sistem politik dan banyak isu-isu pembaharuan perlu dibincangkan serta diambil tindakan.


Tegas Bersig, jika ia ditubuhkan sebagai JPKP maka mudah untuk dibubar dan dihilangkan, seperti yang berlaku kepada JPKP Hal Ehwal Pilihan Raya yang ditubuhkan oleh Dewan Rakyat pada 2019 di bawah pimpinan mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohd Ariff bin Yusof setelah berlakunya Langkah Sheraton.


"Kami juga ingin mengulangi semula cadangan pada tahun 2019 di mana Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya perlu dipengerusikan oleh wakil rakyat daripada pembangkang serta dianggotai oleh wakil rakyat yang mempunyai komitmen kepada pilihan raya bersih dan adil serta mempunyai kepakaran berkenaan urusan pilihan raya," ujar kenyataan itu.


Mandat jawatan kuasa tetap yang dicadangkan oleh Bersih meliputi penubuhan satu Jawatankuasa Pencalonan yang bebas untuk menamakan calon-calon kepada Perdana Menteri untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli-Ahli Pesuruhjaya SPR; Menerima, menyemak dan membahaskan laporan tahunan daripada SPR termasuklah laporan khusus selepas Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil, sebelum laporan tersebut dibentang di Dewan Rakyat dengan ulasan JPKP; Menerima, meneliti dan memeriksa laporan kewangan dan perbelanjaan SPR termasuklah selepas Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil.


Bersih juga mencadangkan jawatankuasa itu melaksanakan siasatan berkaitan sebarang isu pilihan raya dengan kuasa untuk mensapina saksi-saksi bagi memberikan keterangan dan bukti-bukti bagi isu yang dibangkitkan; Menyemak sebarang undang-undang dan pindaan undang-undang berkenaan pilihan raya sebelum dibentangkan dan dibahaskan di dalam parlimen melalui proses libat urus semua pemegang taruh, parti-parti politik, pengundi dan masyarakat madani; Memanggil SPR untuk menjawab soalan di Parlimen berkenaan pentadbiran SPR dan pengurusan proses-proses pilihan raya; Memberi cadangan-cadangan bagi reformasi sistem, amalan dan undang-undang pilihan raya dan memanggil pakar-pakar daripada dalam dan luar negara bagi mendapatkan pandangan ketiga terhadap sesuatu isu berkaitan sistem, pelaksanaan dan undang-undang pilihan raya


"Kami juga menyeru kepada kerajaan supaya memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang terma sembilan JPKP ini supaya orang ramai dimaklumkan kementerian mana, dikawal selia oleh JPKP yang mana dan samada terdapat kementerian yang terlepas daripada kawal selia mana-mana JPKP


"Peraturan Mesyuarat untuk JPKP juga perlu dipinda dan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi perlu diperuntukan supaya semua JPKP dapat berfungsi secara efektif dan bermakna. BERSIH 2.0 sedia membantu dan memberi kerjasama kepada kerajaan dan Parlimen berkaitan hal-hal pembaharuan ini," kata kenyataan itu lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER