top of page

Tubuh ‘Taskforce Selamatkan STPM’ - Sim Tze Tzin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 15
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Kerajaan disaran menubuhkan sebuah pasukan khas yang dinamakan “Taskforce Selamatkan STPM” bagi memastikan keadilan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 6 khususnya daripada golongan kurang berkemampuan.


Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar) dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat kelmarin membangkitkan jurang besar antara sistem prauniversiti Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dengan matrikulasi yang disifatkan memberi kesan buruk kepada peluang kemasukan ke universiti awam.


Menurut beliau data jawapan Kementerian Pendidikan (KPM) yang diperolehnya di Parlimen menunjukkan peratusan pelajar matrikulasi yang mendapat Purata Gred Keseluruhan Kumulatif (PGNK) 4.0 adalah kira-kira 16 peratus manakala pelajar STPM hanya 3.09 peratus.


"Ini bermaksud seorang pelajar matrikulasi lima kali ganda lebih mudah memperoleh 4.0 berbanding pelajar STPM. Akibatnya, pelajar STPM jauh ketinggalan dalam persaingan mendapatkan tempat di universiti awam.


"Sebagai contoh, pada pengambilan 2023 bagi kursus Perubatan, Farmasi, Undang-undang dan Pergigian, pelajar STPM hanya membentuk peratusan kecil berbanding Matrikulasi," katanya dalam kenyataan.


Berdasarkan statistik yang dikongsi, pengambilan pelajar ke kursus Perubatan terdiri daripada 97.6 peratus lepasan matrikulasi dan hanya 2.39 peratus STPM.


Bagi Farmasi pula, sebanyak 97.9 peratus matrikulasi berbanding 2.1 peratus STPM, Undang-Undang 83.4 peratus matrikulasi dan 16.6 peratus STPM manakala Pergigian pula 99.15 peratus matrikulasi berbanding hanya 0.85 peratus STPM.


Jelas beliau, perbezaan tempoh pengajian turut menyumbang kepada ketidakseimbangan ini apabila matrikulasi hanya mengambil masa sembilan bulan, sedangkan STPM memerlukan 18 bulan.


"Kita telah melahirkan satu negara dengan dua sistem prauniversiti yang jurangnya amat besar. Bayangkan jika ada dua anak, seorang masuk matrikulasi dan seorang lagi ambil STPM, masa depan mereka sangat berbeza.


"Yang masuk matrikulasi seperti dapat ‘lottery’ menuju kejayaan, manakala yang memilih STPM terpaksa melalui ‘jalan Persekutuan’ yang berliku," katanya.


Sambil menegaskan isu ini bukan berkaitan kaum atau agama kerana majoriti pelajar STPM juga adalah Melayu dan Bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak.


Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi KEADILAN berkata, sebanyak 71.95 peratus pelajar STPM datang daripada keluarga B40 sekali gus menjadikan laluan itu penting bagi mobiliti sosial golongan tersebut.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan KPM agar memperkasakan STPM manakala Kementerian Pengajian Tinggi pula menilai semula proses pengambilan UPU supaya memberi lebih adil berdasarkan kualiti akademik dan tempoh pengajian yang lebih panjang.


"Memandangkan kedua-dua aliran ini ada kelebihan masing-masing, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menyatukan Matrikulasi dan STPM supaya menjadi satu sistem prauniversiti yang adil dan saksama," katanya.


Pejabat beliau kini sedang mengumpul data dan pengalaman daripada orang ramai mengenai isu tersebut.


Mereka yang ingin berkongsi boleh menulis kepada feedback.stpm@yahoo.com.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page