Suruhanjaya Bebas Siasatan perlu ditubuhkan bagi menentukan punca sebenar kematian dalam tahanan mendiang Sivabalan Subramaniam.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George, kematian seorang lagi dalam tahanan polis dalam masa kurang sebulan selepas kematian A Ganapathy merupakan sesuatu yang serius.
Katanya, mendiang yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan mengalami sesak nafas semasa ditahan bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada Khamis lalu, kemudian meninggal dunia.
"Terdapat percanggahan fakta dalam kes ini apabila laporan polis menyatakan mendiang meninggal pada pukul 12.25 tengah hari manakala adiknya menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 3 petang yang mengatakan Sivabalan sakit parah di hospital Selayang.
"Percanggahan kedua apabila pihak polis menyatakan mendiang meninggal kerana serangan jantung kurang dari satu jam setelah beliau ditahan.
"Saya menggesa sebuah badan bebas ditubuhkan menyiasat dakwaan salah laku polis kerana sesuatu yang tidak masuk akal apabila pelanggaran ini dipantau polis sendiri.
"Gesaan saya agar satu inkuiri umum ke atas kematian Sivabalam Subramaniam dijalankan serta merta. Melalui jawatankuasa ini bukan sahaja penting untuk memastikan keluarga mangsa dan mangsa menerima keadilan dan pembelaan, namun juga penting dalam usaha memperbaiki reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja, Selangor itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyegerakan siasatan kematian bagi mencari punca sebenar.
Beliau juga mendesak agar penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang tertangguh sejak sedekad itu dilaksanakan secepat mungkin.
"KDN digesa menyegerakan siasatan punca kematian mengejut ini. Kematian juga sekali lagi membuktikan kepentingan penubuhan IPCMC dengan segera bagi menyiasat tuduhan terhadap polis, dan penting untuk kita menyelamatkan nyawa orang lain sebelum mengalami nasib yang sama seperti mendiang.
"Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi setiap warganegara. Sekiranya terdapat kes terhadap seseorang, mereka harus didakwa di mahkamah.
"Keganasan fizikal terhadap tahanan mesti dihentikan. Kerajaan harus berpegang pada prinsip asas undang-undang di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah," katanya lagi.
Comments