top of page

Tubuh Ombudsman bebas tangani rasuah sisa elektronik - C4 Center

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Kerajaan digesa menubuhkan Ombudsman bebas dan berkuasa penuh bagi menangani kelemahan sistemik serta risiko rasuah dalam tadbir urus sisa elektronik (e-waste) di negara ini, demikian kata Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center)


Cadangan itu dikemukakan susulan penahanan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta SPRM 2009 yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pelupusan serta pemprosesan e-waste secara haram.


"Kes ini membuktikan bahawa masalah rasuah dalam tadbir urus sisa tidak terhad kepada pengendali haram atau tidak berlesen sebaliknya turut berpotensi melibatkan pembuat keputusan kanan yang diamanahkan dengan kuasa kawal selia," kata C4 Center dalam kenyataan semalam.


Menurut C4 Center, skala dan berulangnya amalan rasuah tersebut mencerminkan kegagalan kawal selia yang bersifat sistemik, didorong oleh rasuah dan bukan sekadar kelemahan penguatkuasaan.


"Keadaan ini menunjukkan keperluan mendesak kepada mekanisme pengawasan bebas yang mampu mengesan dan mencegah salah laku lebih awal, bukannya hanya bertindak selepas kerosakan alam sekitar dan kesihatan awam berlaku," tegas kenyataan itu.


C4 Center turut mendedahkan bahawa kelemahan ketelusan dan keterbukaan maklumat awam telah membolehkan e-waste domestik diproses dan dibuang secara tidak bertanggungjawab tanpa dikesan manakala e-waste import pula sering disalah label sebagai sisa logam bagi mengelakkan pemeriksaan di pelabuhan.


"Amalan ini sudah lama diketahui dan berulang namun sistem pemeriksaan sedia ada terlalu lemah untuk menghalang penyelewengan dan penyalahgunaan," katanya.


Menurut C4 Center, isu sama turut pernah dibangkitkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) termasuk cubaan pegawai JAS memudahkan pelepasan penghantaran e-waste di Pelabuhan Klang sekali gus menuntut tindakan susulan yang lebih tegas terhadap syor suruhanjaya itu.


"Hubungan berulang antara operasi e-waste dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan aktiviti terancang membuktikan bahawa ia bukan kes terpencil tetapi berpunca daripada kelemahan sistem yang membebankan rakyat dalam jangka panjang," menurut kenyataan itu.


Meskipun menyambut baik penubuhan pasukan petugas khas kerajaan bagi menangani import e-waste dan sisa plastik, C4 Center menegaskan penangkapan semata-mata tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah berakar umbi tersebut.


"Penyelesaian jangka panjang mesti memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi, peningkatan ketelusan dan penutupan jurang yang membolehkan rasuah terus berlaku," jelasnya.


Sehubungan itu, C4 Center mengemukakan beberapa cadangan utama termasuk penubuhan Ombudsman Malaysia yang bebas, tindakan tegas terhadap pesalah berulang selain menyenarai hitam fasiliti kitar semula.


Badan itu turut mencadangkan peningkatan ketelusan data awam berkaitan e-waste, pelaburan dalam teknologi pengesanan di pelabuhan dan penyertaan pertubuhan masyarakat sivil dalam pasukan petugas khas.


"Tanpa pembaharuan struktur dan pengawasan bebas, kos kegagalan tadbir urus ini akan terus ditanggung oleh rakyat melalui pencemaran alam sekitar, risiko kesihatan awam dan hakisan kepercayaan terhadap institusi negara," tegas C4 Center.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page