top of page

Tubuh kementerian khas tangani kemiskinan bandar - Amirudin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 29
  • 1 min read


Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) mencadangkan penubuhan satu kementerian atau portfolio khas bagi menangani kemiskinan bandar


Beliau berkata, kementerian khusus itu mampu merangka dasar secara lebih tersusun dan bersasar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat bandar selari dengan tekanan kos sara hidup dan realiti kehidupan di kawasan perbandaran.


"Pembasmian kemiskinan bandar memerlukan kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan melalui pelan komprehensif merangkumi aspek pendapatan, perumahan, pendidikan, kesihatan serta kesejahteraan sosial.


"Justeru langkah pertama adalah untuk memastikan adanya satu kementerian. Kalau kita gagal untuk mempunyai satu kementerian dan portfolio khusus menangani kemiskinan bandar, kita akan hanya menangani simptom dan juga gagal menangani masalah itu secara serius," katanya dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula tahun ini perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.


Baginda menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.


Sementara itu tambah Amirudin, walaupun kerajaan sudah menetapkan nilai ambang kemiskinan di bandar dan luar bandar, kepesatan pembangunan di bandar turut memerangkap beberapa kelompok dikategorikan sebagai miskin bandar.


Justeru jelasnya, isu tersebut tidak boleh sekadar dilihat sekali imbas kerana mempunyai lapisan tertentu dan rangkaian permasalahan.


"Ia bukan hanya persoalan tentang kekurangan makan, ketidakcukupan kewangan tetapi menyebabkan malnutrisi yang memberi kesan kepada otak dan kualiti pembelajaran yang akhirnya membuatkan mereka tertinggal daripada arus pembangunan dan kemajuan dalam negara kita. Ini yang harus kita tangani secara komprehensif," kata Menteri Besar Selangor itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page