Tubuh Jawatankuasa Tindakan Khas tangani isu pembinaan rumah ibadat
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan MADANI diseru agar segera menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas peringkat Kabinet bagi menangani isu pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang secara menyeluruh.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim (gambar), berkata jawatankuasa khas itu perlu menetapkan kerangka nasional yang jelas, merangkumi klasifikasi kes, pilihan penyelesaian sebelum penguatkuasaan, mekanisme mediasi dan disiplin komunikasi agar isu pentadbiran tidak terus diperalatkan menjadi konflik perkauman.
Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, beliau menyokong penuh usaha untuk menuntaskan isu berkenaan berteraskan perundangan, berfakta dan berhemah.
"Isu status tanah, kelulusan pembinaan serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan institusi agama tidak boleh diselesaikan melalui retorik atau sentimen apatah lagi dengan meniup api perkauman.
"Dalam masa yang sama, saya juga berpendirian bahawa semua pemimpin tanpa mengira latar agama atau kaum mempunyai tanggungjawab mendisiplinkan komuniti masing-masing agar mematuhi undang-undang.
"Sebarang pembelaan terhadap binaan rumah ibadat yang tidak patuh peraturan hanya akan memanjangkan polemik dan menghakis kepercayaan terhadap institusi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Anwar berkata, pihaknya berpegang teguh bahawa keharmonian negara hanya dapat dipelihara melalui keadilan undang-undang, konsistensi dasar dan kematangan politik.
Tegas beliau, isu sensitif tidak boleh terus dibiarkan menjadi modal politik sempit yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.
"Malaysia memerlukan kepimpinan yang menenangkan dan bukannya menghasut, menyatukan, bukannya memecah-belahkan sehingga berisiko kepada perpaduan negara.
"Komitmen untuk menyelesaikan isu ini berpaksikan undang-undang adalah tanggungjawab bersama," katanya lagi.









Comments