Tubuh Jawatankuasa Penyiasat Bersama siasat Pandora Papers - Hassan Karim
- Redzuan Shamsudin
- Oct 15, 2021
- 2 min read

Pendedahan skandal Pandora Papers harus disiasat serapi mungkin dan sesiapa yang bersalah harus dibawa ke muka pengadilan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, pagi tadi.
Menurut Hassan, beliau telah mencadangkan kepada JKMR yang dipengerusikan Tan Sri Dr Rais berkenaan peri pentingnya SPRM menyiasat dokumen Pandora Papers yang melibatkan 1,500 rakyat Malaysia.
"Saya mencadangkan dalam mesyuarat tersebut SPRM menyiasat pendedahan Pandora Papers yang menyatakan antara tahun 2004 hingga 2014 terdapat seramai 1,500 orang rakyat Malaysia telah menyimpan harta mereka dalam bentuk wang, saham dan modal di pusat-pusat pesisir luar (offshore centre) seperti Singapura dan British Virgin Islands yang dianggap sebagai tax haven.
"Simpanan ini tidak dikenakan cukai. Kesemua harta rakyat Malaysia itu dapat lari dari radar sistem percukaian Malaysia dan ditaksirkan sebanyak RM1.8 trilion, atau RM1,800 bilion. Suatu jumlah yang amat besar," katanya.
Hassan juga mencadangkan supaya SPRM bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dalam membentuk satu Jawatankuasa Penyiasat bersama seperti mana yang Kerajaan pernah buat dalam penyiasatan skandal 1MDB.
"Saya mencadangkan SPRM dan Jawatankuasa Penyiasat bersama itu mendapatkan kerjasama Kerajaan asing seperti Singapura dan lain-lain seperti yang pernah Kerajaan buat dalam mendapatkan balik wang negara sebanyak lebih RM14 bilion ringgit, yang diselewengkan dalam skandal 1MDB.
"Dalam isu Pandora Papers ini, Kerajaan juga boleh lakukan seperti apa yang dilakukan dalam isu 1MDB.
"Banyak wang negara yang merupakan harta rakyat dapat dikembalikan ke perbendaharaan jika pendedahan Pandora Papers disiasat ke akar umbi, didakwa dan dibawa ke mahkamah.
"Jalan seribu batu bermula dengan langkah pertama. Langkah pertama ialah saya mencadangkan SPRM memulakan siasatannya," kata beliau lagi.
Pandora Papers menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat sepanjang 2 minggu lalu apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul perbahasan sebanyak 3 kali namun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
コメント