Tubuh Jawatankuasa Martabatkan STPM, elak pelajar Tingkatan 6 tercicir ke IPT
- Suara Keadilan
- Sep 9
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan diseru menubuhkan 'Jawatankuasa Bersama Memartabatkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)' bagi memastikan keadilan dapat diberikan kepada golongan pelajar Tingkatan 6 di negara ini.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya mempertimbangkan langkah-langkah untuk memperkasakan STPM.
''Keputusan kemasukan ke Universiti Awam (UA) melalui Unit Pusat Universiti (UPU) baru sahaja diumumkan minggu lalu. Seperti tahun-tahun lepas, ada sebilang kes pelajar cemerlang STPM yang gagal mendapat kursus utama yang dipilih (pilihan top 3).
''Kerajaan telah mengumumkan usaha menempatkan 69 pelajar STPM CGPA 4.0 jurusan Sains ke kursus pilihan (pilihan top 3). Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan atas usaha proaktif tersebut.
''Namun, pelajar cemerlang gagal mendapat kursus pilihan utama bukan sahaja berlaku di kursus sains, ia juga berlaku di Aliran Seni,'' katanya dalam satu kenyataan.
Kata Tze Tzin lagi, beliau telah memulakan satu kaji selidik baru-baru ini bagi mendapatkan maklum balas pelajar STPM mengenai kemasukan ke UPU.
Susulan tinjauan dilakukan, beliau menekan dua kes yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.
Katanya, kes pertama melibatkan seorang pelajar STPM dari Dengkil Selangor dikenali sebagai Wan Muhammad yang berjaya mencapai CGPA 3.92 dan bercita-cita menjadi seorang peguam.
''Pilihan utama adalah jurusan undang-undang, namun kursus ditawarkan adalah pilihan ketujuh iaitu Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa dengan Kepujian (UMS).
''Kes kedua pula melibatkan pelajar bernama Wong dari Perai, Pulau Pinang. Beliau berjaya mendapat CGPA 4.0 dan bercita-cita menjadi seorang akauntan.
''Pilihan utama adalah jurusan akauntan, namun ditawarkan pilihan kelima iaitu Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian (USM).
''Adik Wan Muhammad dan Adik Wong bukan kes terpencil. Setiap tahun, puluhan kes pelajar cemerlang gagal mendapat kursus yang diminati, kerana persaingan daripada pelajar saluran lain seperti Matrikulasi, Asasi dan lain-lain,'' katanya lagi.
Bagaimanapun, Tze Tzin berkata, beliau tidak mempersoalkan kewujudan Matrikulasi yang mempunyai kebaikan tersendiri, namun berharap KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencari penyelesaian memartabatkan pelajar STPM.
''KPT pula harus mereformasikan UPU dari segi pengambilan pelajar. STPM harus diberi keutamaan yang lebih adil ke atas kualiti akademik dan masa pengajian yang lebih panjang.
''Saya yakin kepada kepimpinan Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi yang mampu membawa perubahan.
''Masalah STPM ini adalah isu berpuluh tahun dan memerlukan kajian dan usaha yang komprehensif. Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama iaitu menubuhkan 'Jawantankuasa Bersama Memartabatkan STPM','' ujarnya lagi.
Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi KEADILAN menyeru pelajar STPM agar terus mengisi borang kaji selidik yang disediakan atau email di feedback.stpm@yahoo.com.





