Penubuhan jawatankuasa bi-partisan anti rasuah dan sistem amaran awal banjir menjadi tajuk ucapan perbahasan Ahli Parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH - Hang Tuah Jaya).
Menurut beliau perbicaraan bekas pegawai kewangan Goldman Sachs, Tim Leissner di New York telah membuktikan amalan korupsi dilakukan secara institusi dan bukan lagi persendirian.
"Perbicaraan Tim Leisnner di New York dengan hujah dan bukti diberikan merupakan perkara paling serius terkait undang undang akta pencegahan rasuah.
"Sewaktu Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) menjadi pemangku PM pada 1997, undang undang dipinda berkait akta pencegahan rasuah. Undang undang dipinda lebih ketat untuk memastikan personaliti dan individu dalam kerajaan atau swasta apabila mereka melakukan rasuah akan diberikan hukuman yang ketat.
"Justeru pindaan itu menyaksikan Ketua Pembangkang melalui jalan berliku dalam politik sehingga disumbat ke dalam penjara 2 kali. Sekarang ini masanya saya ingin tanya kepada kerajaan mengenai pelan anti rasiaul nasional? Saya menyarankan kerajaan mengkaji semula undang undang ini untuk menghalang institusi pula terbabit dengan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.
"Kalau kita lihat 1MDB, ia bukan lagi untuk individu. Ia dalam bentuk institusi yang berkait dengan Bank Negara dan institusi (pentadbiran). Bermakna kalau tak ada undang undang yang ketat akan berlaku kebocoran yang menyebabkan bukan sekadar jutaan tetapi bilion wang rakyat dibazirkan," katanya dalam sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.
Menurut Shamsul lagi, jawatankuasa kerajaan dan pembangkang itu nanti jika diwujudkan akan menunjukkan keseriusan Malaysia di mata dunia dalam memperbaiki rekod buruknya dan tidak akan mengulangi zaman gelap era pemerintahan bekas PM Najib Razak.
"Saya rasa sampai masanya Parlimen melaksanakan jawatankuasa bi-partisan itu agar kita dapat teliti agenda pemerkasaan pencegahan rasuah ini agar kedua dua pihak dapat berkerjasama dalam jihad untuk membanteras rasuah yang kini sampai ke peringkat institusi.
"Saya tidak hairan kita dengar dalam dewan Ahli Parlimen Pekan tanpa rasa malu menyatakan bahawa tidak ada sesen pun wang rakyat digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB. Kemudian dijawab oleh Menteri Kewangan hutang prinsipal 1MDB adalah sebanyak RM32 bilion, sementara RM6.5 bilion pula bayaran faedah yang bagi saya adalah memalukan," katanya.
Selain itu beliau juga membangkitkan isu banjir kilat yang melanda ibu negara kelmarin yang menyaksikan warga Kuala Lumpur kerugian besar apabila beratus ratus kereta tersekat di dalam banjir
Shamsul bertanya kepada Kementerian Alam Sekitar yang sedikit masa dahulu pernah berjanji untuk membangunkan sistem amaran awal banjir tetapi sehingga hari ini belum wujud sistem seumpama itu
"Saya ingin bangkitkan dalam dewan ini tentang perubahan iklim. Saya ingin tanya kementerian yang menjaga perkara ini bagaimana perancangan kerajaan untuk memastikan rakyat memahami tentang kepentingan perubahan iklim. Apakah kita sudah bergerak memastkikan segala undang undang berkaitan 'new green deal' ini dilaksanakan?
"Saya minta kepenterian jaga iklim ini jangan tertumpu kepada karbon trading semata mata. Kementerian sedikit masa dahulu berkata ke arah menyediakan maklumat (banjir) lebih awal. Saya tidak terima mesej atau WhatsApp yang meminta rakyat berhati hati (banjir di Kuala Lumpur), jadi sampai bila kita nak bebankan rakyat dengan perkara ini?
"Bila bencana apa rakyat dapat? RM100, RM500, RM1,000. Dengan perabot musnah kerajaan beri RM1,000 maksimum. Hal hal mengenai perubahan iklim ini wajar diutamakan," katanya lagi.
Kommentare