top of page

Tubuh jawatankuasa antara jabatan selesai masalah kekurangan ubat di pasaran



Masalah kekurangan bekalan ubat agak serius sejak kebelakangan ini terutama melibatkan Paracetamol dan ubat anti alahan kanak-kanak untuk selsema.


Menurut ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min, kekurangan bekalan ubat tersebut harus ditangani dengan segera oleh pihak Kementerian Kesihatan.


Jelasnya, bekalan dilaporkan berkurangan sejak virus Covid 19 varian Omicron bertambah jangkitannya dan ditambah pula dengan penyakit tangan, kaki dan mulut serta influenza.


Sejak itu, kata beliau, sesetengah ubat sukar didapati di farmasi malah di klinik kerajaan sekali pun.


"Ubat asas seperti Paracetamol dan ubat anti alahan kanak-kanak untuk selsema menghadapi kekurangan yang serius di pasaran, bekalan dari hospital kerajaan dan swasta juga menunjukkan tanda-tanda yang membimbangkan.


"Dalam hal ini Kementerian Kesihatan Malaysia tidak wajar mengabaikan perkara ini dan seharusnya menyediakan kaedah penyelesaian yang praktikal," katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Bendahari Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu lagi, masalah kekurangan bekalan ubat tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam waktu terdekat, meskipun Menteri Kesihatan Datuk Seri Khairy Jamaluddin memperkecilkan keseriusan masalah itu bulan lalu.


"Bekalan ubat domestik kebanyakannya bergantung kepada import. Kekurangan bekalan disebabkan pelbagai faktor antaranya perang Rusia-Ukraine, lockdown di China, kekurangan bahan mentah dan isu logistik.


"Selain itu, ia juga termasuk penyusutan berterusan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat yang mana industri mengurangkan bekalan untuk mengelak kerugian.


"Memandangkan pelbagai isu yang terlibat, saya mencadangkan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa antara jabatan, untuk mencari sumber baru bekalan ubat dan menyelesaikan masalah ini," katanya.


Menurut Simon lagi, kerajaan juga boleh memberikan subsidi kepada pengimport ubat untuk menggalakan mereka membawa masuk ubat ubatan yang semakin mahal harganya.


"Penyelesaian masalah dalam jangka pendek boleh dilakukan melalui perdagangan antarabangsa dan diplomasi


"Kerajaan juga boleh meningkatkan pembiayaan untuk memberi subsidi industri atau menyediakan insentif cukai untuk menampung kerugian yang disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran, supaya menggalakkan syarikat membeli cukup ubat bagi mengisi jurang permintaan pasaran," katanya.


Manakala pada jangka panjang, ujar Ketua Cabang KEADILAN Sungai Petani itu, Malaysia perlu membangunkan rantaian bekalan ubat baharu di peringkat dalam negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan dari negara luar.


"Hal ini akan memastikan rakyat Malaysia mempunyai bekalan ubat yang mencukupi.


"Di samping itu, sistem perubatan awam dan swasta juga mesti mewujudkan saluran perkongsian maklumat untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai permintaan ubat sebanyak mungkin, supaya dapat menyesuaikan pengeluaran dan bekalan bagi mengelakkan bekalan kekurangan," katanya lagi.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page