Trump hadir sidang ASEAN: 'Tekanan diplomatik ke atas AS lebih penting'
- Suara Keadilan

- Oct 3
- 1 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke sidang ASEAN tidak seharusnya ditolak meskipun wujud sensitiviti isu Palestin dan penahanan aktivis Global Sumud Flotilla oleh Israel.
Pakar geostrategis, Dr Azmi Hassan (gambar) berkata, peluang kedatangan Trump tersebut wajar dimanfaatkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memberi tekanan diplomatik terus kepada Washington.
"Meskipun protes jalanan boleh diteruskan sebagai tanda solidariti, namun pertemuan bersemuka dengan Trump jauh lebih berkesan dalam menyampaikan mesej berkaitan penderitaan rakyat Palestin.
"Protes boleh dibuat, tiada masalah. Tetapi sama ada ia efektif dibandingkan dengan Perdana Menteri jumpa Trump secara berdepan, ia lebih efektif dari sudut diplomasi.
"Seperti Presiden Perancis Emmanuel Macron baru-baru ini di PBB, beliau berani menerangkan satu persatu kenapa negaranya bersama Kanada dan Australia mengiktiraf Palestin.
"Hujah diplomasi itulah yang mampu memberi kesan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Menurut Dr Azmi, pengalaman lampau membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim berani mengangkat isu Gaza di pentas antarabangsa, termasuk pada Sidang APEC di San Francisco pada 2023 ketika Joe Biden memegang jawatan sebagai Presiden AS, meskipun ketika itu tragedi serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel belum berlaku.
"Kalau beliau berani bersuara ketika itu, saya percaya dalam pertemuan di Sidang ASEAN, Perdana Menteri mampu membawa hujah lebih keras, kerana tiada pemimpin ASEAN lain yang sanggup menegur Trump mengenai Gaza, malah mungkin juga isu Ukraine," ujarnya.
Dr Azmi menegaskan, strategi ini bukan sekadar soal protokol, tetapi ruang untuk “membasuh habis-habisan” pandangan Trump terhadap konflik Palestin-Israel dan menyampaikan aspirasi majoriti masyarakat dunia yang menolak dasar berat sebelah Amerika Syarikat.
"Lebih baik kita jemput Trump, tapi dalam syarat, kita gunakan diplomasi untuk menjentik pemikiran beliau. Itu jauh lebih bermakna," katanya lagi.









Comments