Sistem pengurusan pilihanraya TERAS berasaskan AI, mampu kukuh jentera parti
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memperkenalkan satu sistem pengurusan pilihanraya berteraskan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh gerak kerja jentera parti serta memperkemas pengurusan pilihanraya.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, pembangunan sistem “TERAS” tersebut merupakan usaha menghargai pengorbanan anggota parti yang sekian lama bekerja keras di belakang tabir, untuk memudahkan tugas mereka.
"Alhamdulillah, kita tahu ramai anggota parti berjuang berpenat lelah walaupun pemimpin silih berganti. Hari ini adalah masa untuk kita memberi kembali kepada anggota dengan memperkenalkan sistem berteknologi canggih berteraskan AI milik KEADILAN," katanya ketika ditemubual Suara Keadilan selepas Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya: “TERAS” di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Petaling Jaya, hari ini.
Menurut beliau, walaupun sistem itu tidak menjamin 100 peratus kemenangan namun ianya mampu memperkukuh gerakan di peringkat akar umbi serta memudahkan pelbagai urusan berkaitan pilihanraya.
"Sudah tentu ia tidak sempurna tetapi ia mampu - setelah kita cakna penggunannya - untuk memperkuat gerakan jentera di bawah.
"Ia akan memudah urus segala urusan pilihanraya dan memastikan penat lelah jentera diambil kira dalam satu sistem diintegrasikan," ujarnya.
Beliau menjelaskan sistem berkenaan dibangunkan dengan empat elemen utama, termasuk pusat arahan dikenali sebagai “Nexus” yang perlu dipantau rapi oleh pengurus kempen.
Selain itu, elemen “Pulse” diperkenalkan sebagai nadi rakyat, yang memerlukan jentera turun padang untuk mengumpul dan memasukkan data bagi membuat analisis isu semasa.
"Pulse memerlukan jentera turun padang, ‘key in’ data, dan di peringkat ‘back room’ perlu menganggarkan isu yang sedang dibawa."
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.
"Hal ini penting kerana kadang kadang cakap kita 'tak sampai' (maksudnya). Orang anggap tak penting atau tak ada masa nak dengar. Jadi kita nak kena tahu hubungan, gandingan (isu dan kehendak pendengar)," ujarnya.
Dalam masa sama, Pengarah Pilihan Raya KEADILAN itu turut mengingatkan mengenai cabaran dalam era AI yang turut membuka ruang kepada penipuan maklumat.
"Dalam era AI ini juga penipuan banyak, penipuan yang paling kuat adalah (yang dianggap) kebenaran yang sesungguhnya," katanya lagi.




Comments