Turun padang kekal nadi kempen, jentera dipacu data, respon pantas
- Hasbul Ahmad

- May 2
- 2 min read

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa pendekatan turun padang kekal sebagai nadi utama kempen pilihan raya, meskipun teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang pesat.
Beliau berkata, dalam landskap politik yang semakin kompleks, interaksi bersemuka dengan rakyat tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh teknologi, sebaliknya perlu diperkukuh dengan sistem pengurusan data yang lebih tersusun.
"Setiap hari kita turun padang, jumpa rakyat, dengar rintihan dan aduan. Itu asas. Walaupun teknologi bergerak laju, kita tetap perlu berada di lapangan.
"Kempen hari ini semakin kompleks. Apa sahaja yang berlaku boleh tersebar dengan cepat melalui platform seperti X.
"Kita perlu ada pasukan respon isu yang mampu bertindak segera," katanya ketika pada Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya “TERAS” di Dewan Komuniti Bandar Utama 11 hari ini.
Menurut beliau, kempen masa kini menuntut persediaan jentera yang lebih rapi termasuk dari segi bahan kempen, pasukan respon isu serta mekanisme pemantauan seperti “kotak amaran” bagi mengesan perkembangan semasa secara pantas.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, pengumpulan data culaan dan maklum balas pengundi perlu disusun dengan lebih sistematik agar dapat dimanfaatkan untuk membuat keputusan strategik.
"Selama ini kita kumpul data secara manual, berbeza-beza. Tapi jika tidak dianalisis dengan baik, ia tidak memberi hasil yang sepatutnya. Sebab itu kita perlukan sistem yang boleh memberi laporan secara langsung," katanya.
Tambah beliau, penggunaan sistem seperti TERAS membolehkan laporan culaan dikemaskini secara masa nyata (realtime), termasuk memantau jumlah sukarelawan aktif dan sentimen pengundi di sesuatu kawasan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kekuatan jentera pilihan raya terletak pada keupayaan menyelaras operasi di peringkat akar umbi seperti pusat daerah mengundi (PDM) dan saluran.
"Bila kita masuk ‘election mode’, cabaran terbesar adalah penyelarasan di peringkat daerah mengundi, pusat daerah mengundi dan saluran. Jika tidak disatukan, gerak kerja akan terjejas," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa matlamat utama perjuangan politik adalah untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukan sekadar meraih kemenangan.
"Kita bertanding untuk berkhidmat. Anggota di lapangan adalah mata, telinga dan hati yang membawa suara rakyat. Tanpa khidmat, tiada kemenangan," ujarnya lanjut.




Comments