Transformasi PH dalam Kerajaan Perpaduan bukti kematangan politik
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Transformasi besar yang dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) melalui Kerajaan Perpaduan hari ini membuktikan kematangan politik dan kebijaksanaan strategik gabungan itu, khususnya selepas kejatuhan gabungan politik itu akibat Langkah Sheraton.
Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) Dr Zulqarnain Lukman (gambar) berkata, reformasi berskala besar sekarang sebenarnya berasal daripada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Kerajaan Persekutuan dan PH pada 13 September 2021.
"Ia bukan satu bentuk kekalahan, sebaliknya langkah taktikal yang membuka ruang reformasi institusi berskala besar.
"PH mungkin kalah satu pertempuran kecil ketika itutetapi keputusan menghentikan percubaan Tebuk Atap 2.0 membolehkan PH membina semula kekuatan politik dan moral sehingga berjaya menawan 82 kerusi dalam PRU15," katanya dalam hantaran di media sosial.
Zulqarnain berkata, MoU itu telah menjadi asas penting kepada pelaksanaan lima teras transformasi utama termasuk pembaharuan Parlimen, transformasi pentadbiran, kebebasan institusi kehakiman dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kini hampir keseluruhannya direalisasikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas transformasi pentadbiran, beliau berkata kelulusan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan komitmen menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun merupakan pencapaian bersejarah dalam usaha memperkukuh demokrasi negara.
"Ia bukan reformasi kosmetik sebaliknya perubahan struktur yang akan memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan politik dan tadbir urus negara," tegasnya.
Dalam aspek pembaharuan Parlimen pula, Zulqarnain menyifatkan kelulusan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 sebagai satu kejayaan besar kerana ia mengembalikan autonomi kewangan dan pentadbiran Parlimen, selari dengan prinsip pengasingan kuasa.
Beliau menegaskan kebebasan institusi kehakiman semakin jelas terserlah apabila keputusan-keputusan mahkamah berprofil tinggi termasuk kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak dibuat tanpa campur tangan politik walaupun UMNO merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
"Kenaikan gaji hakim dan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu juga menunjukkan komitmen serius kerajaan dalam mempertahankan kebebasan kehakiman," katanya.
Berhubung MA63, beliau berkata penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan kemajuan penyelesaian 13 daripada 29 tuntutan membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu Sabah dan Sarawak secara berinstitusi dan berfakta.
Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan menjejaskan prinsip reformasi PH.
"Sebaliknya, apa yang kita lihat hari ini ialah pelaksanaan hampir keseluruhan agenda reformasi yang sebelum ini hanya menjadi retorik. Ini adalah kejayaan yang wajar diraikan," katanya.
Zulqarnain menegaskan bahawa sumbangan PH melalui Kerajaan Perpaduan telah membawa kestabilan politik serta transformasi struktur yang amat diperlukan oleh Malaysia.
Katanya segala pencapaian reformasi yang dilaksanakan hari ini adalah hasil keberanian politik untuk berkompromi demi kepentingan negara, bukannya pengorbanan prinsip.
"Kerajaan Perpaduan bukan tanda kelenturan prinsip, sebaliknya manifestasi kebijaksanaan politik. Apa yang sedang kita saksikan hari ini ialah pelaksanaan reformasi sebenar yang selama ini hanya menjadi janji. Ini adalah kejayaan yang wajar diraikan demi masa depan Malaysia," katanya.









Comments