Tragedi Putra Heights: Mangsa kebakaran diberi peruntukan sewa rumah
- Suara Keadilan
- Apr 18
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Taklimat mengenai pembangunan semula rumah-rumah yang terkesan akibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya dua minggu dari sekarang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tentang usaha membaik pulih rumah terjejas.
Sebelum itu, katanya, Kerajaan Negeri akan menyelesaikan terlebih dahulu isu sewaan rumah bagi mangsa yang terjejas.
''Pembangunan itu membabitkan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan. Kami sedang menunggu komitmen itu.
''Pembinaan rumah akan bermula kerana kita telah muktamadkan dan akan memanggil semua pihak terlibat.
''Sekarang ini, saya mahu selesaikan tentang sewa dengan semuanya akan diserahkan pada minggu hadapan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ehsan Raya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di Shah Alam, hari ini.
Kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum ini bersetuju untuk memberikan peruntukan sewaan rumah kepada mangsa kebakaran akibat kebocoran paip gas di Putra Heights dan kawasan sekitarnya yang mengalami kemusnahan menyeluruh atau total lost.
Hal itu kerana tempoh membina semula rumah akan mengambil masa panjang dan mangsa perlu ditempatkan di rumah yang mempunyai kemudahan lengkap.
Commentaires