Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menyeru supaya segala kes berkaitan dengan kematian ketika dalam tahanan polis harus dihentikan segera.
Beliau memandang serius terhadap kes A Ganapathy yang maut ketika dalam tahanan polis dan menganggapnya telah menimbulkan kegemparan melalui media sosial terutama di kalangan masyarakat India.
"Kematian dalam tahanan telah dilihat sebagai tragedi berulang dalam masyarakat India dan ia terus berulang hingga hari ini.
"Adalah menjadi kewajiban PDRM untuk melindungi mereka yang berada di bawah jagaan mereka.
"Polis perlu mengeluarkan penjelasan yang telus dan jelas. Kronologi peristiwa itu mesti ditunjukkan kepada masyarakat umum tanpa melindungi apa-apa," katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada wajar pihak polis diberi kuasa menyiasat diri mereka sendiri.
"Siapa yang akan menyiasat kematian Ganapathy? Polis menyiasat kesalahan polis? Itulah sebabnya mengapa IPCMC (Akta Suruhanjaya Bebas Aduan Kesalahan Polis 2019) yang telah dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019 adalah penting," katanya.
Pada masa sama, Prabakaran juga menuntut penjelasan terhadap perkembangan semasa berkenaan pemasangan CCTV di semua lokap polis.
"Kerajaan telah meluluskan lebih dari RM73 juta untuk memasang CCTV di semua lokap polis pada 23 September 2019 seperti yang diumumkan oleh Menteri Undang-Undang, mendiang Datuk Seri Liew Vui Keong, tetapi apa yang terjadi dengan projek itu?
"Adakah keadaan sebenar Ganapathy akan didedahkan melalui rakaman CCTV itu?
"Tragedi berulang yang serius ini mesti dihentikan dan Ganapathy mesti menjadi mangsa terakhir kematian dalam tahanan di negara ini. Kita perlu menghentikan sepenuhnya kegagalan ini," katanya.
Opmerkingen