Tragedi kebakaran Kg Bahagia: AMK Malaysia, Sabah hulur bantuan makanan
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Prihatin terhadap nasib penduduk terjejas akibat kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan pada 19 April lalu, Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan (BKK) Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia bersama AMK Sabah dan AMK Sandakan tampil menghulurkan bantuan awal kepada mereka.
Ketua BKK AMK Malaysia, Noor Atillah Abdullah Sani berkata, sumbangan berbentuk makanan telah diagihkan kepada mangsa pada hari sama sebagai usaha untuk meringankan beban mereka.
"Susulan kejadian itu, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan berhubung bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan kepada mangsa terlibat.
"AMK Malaysia kekal komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya dalam saat-saat mencabar seperti ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Atillah berkata, mangsa kebakaran kini ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, Sandakan.
Terdahulu, Kerajaan Negeri dilaporkan merancang untuk membangunkan semula Kampung Bahagia yang musnah dalam kebakaran awal pagi 19 April lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perincian pelaksanaan belum dapat diumumkan kerana kerajaan perlu meneliti laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan terlebih dahulu.
Antara cadangan dipertimbangkan, ujarnya adalah termasuk usaha menambak kawasan berkenaan bagi tujuan pembangunan perumahan baharu.
Kebakaran di perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan seramai 9,007 penduduk hilang tempat tinggal, manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata, kebakaran melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar dan keadaan laut surut menyukarkan usaha mendapatkan bekalan air terbuka bagi operasi pemadaman.




Comments