Tragedi helikopter FDS: BBC desak Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan disegerakan


Kerajaan digesa mempercepatkan usaha menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi memperkukuh pengurusan tenaga kerja, kebajikan dan pembangunan kerjaya warga kesihatan negara.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata keperluan itu semakin penting susulan tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak kelmarin.
"Insiden ini turut mengingatkan kita tentang cabaran dan risiko yang dihadapi oleh warga kesihatan dalam melaksanakan tugas khususnya mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman dan lokasi yang sukar diakses
"Susulan insiden helikopter yang membawa petugas Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat serta seluruh warga KKM yang terkesan dengan kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nahas pada 8 September lalu membabitkan sebuah helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF yang membawa lima individu termasuk seorang juruterbang ketika menjalankan operasi FDS berhampiran STOLport Long Lellang.
Empat daripada mangsa merupakan petugas KKM terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat manakala seorang lagi ialah juruterbang.
Kesemua lima mangsa kemudian disahkan terkorban dalam tragedi itu.
Menurut Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sikijang, isu kebajikan dan imbuhan petugas FDS turut kembali mendapat perhatian susulan tragedi berkenaan.
Dalam konteks itu, Zaliha berkata penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bakal menjadi sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara.
"Keperluan terhadap suatu mekanisme yang lebih khusus bagi mengurus tenaga kerja kesihatan telah pun dikenal pasti dalam proses reformasi yang digariskan menerusi Kertas Putih Kesihatan," katanya.
Beliau berkata sektor kesihatan mempunyai keperluan dan cabaran tersendiri termasuk pengambilan, penempatan, skim perkhidmatan, pembangunan kerjaya, imbuhan serta kebajikan tenaga kerja.
"Isu berkaitan elaun petugas Perkhidmatan Doktor Udara yang telah dikemukakan untuk pertimbangan sejak November 2025 merupakan antara contoh yang menunjukkan perlunya suatu mekanisme yang lebih khusus dan responsif dalam menangani keperluan warga kesihatan," katanya.
Zaliha menegaskan kerajaan tidak seharusnya menunggu sesuatu isu mendapat perhatian umum sebelum tindakan dapat digerakkan.
"Kita tidak seharusnya menunggu sehingga sesuatu isu mendapat perhatian umum sebelum tindakan dapat digerakkan," katanya.
Sebaliknya kata beliau negara perlu mempunyai struktur yang mampu meneliti, menyelaras dan menangani keperluan tenaga kerja kesihatan secara berterusan, tersusun dan lebih pantas.
Menurut beliau, isu sumber manusia merupakan antara cabaran terbesar dalam memastikan sistem kesihatan negara terus berfungsi dengan baik dan mampu memenuhi keperluan rakyat.
"Oleh itu, saya berpandangan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu dibawa ke peringkat seterusnya dengan lebih segera," katanya.
Sebagai Pengerusi BBC, Zaliha berkata beliau akan terus menyokong dan mengangkat langkah reformasi yang dapat memperkukuh sistem kesihatan negara.
Beliau turut menyifatkan warga kesihatan sebagai tunjang kepada sistem kesihatan negara dengan menegaskan sistem yang mengurus mereka juga perlu mempunyai keupayaan memahami cabaran yang dihadapi.
"Saya berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan serius terhadap cadangan ini dan menetapkan hala tuju yang jelas ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan," katanya lagi.




Comments