Tragedi Gerik: Wajibkan jadual rehat terancang bagi pemandu bas
- Suara Keadilan
- Jun 11
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kemalangan bas yang meragut sebanyak 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tempoh hari, masih hangat diperkatakan sehingga ke hari ini.
Tragedi menyayat hati itu membuka mata pelbagai pihak, sekali gus menampilkan beberapa cadangan penambahbaikan demi membendung insiden serupa daripada terus berulang.
Bagi Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, antara yang diketengahkan adalah keperluan mewujudkan jadual perjalanan rasmi yang lengkap dan terancang.
Beliau berkata, jadual tersebut merangkumi mempunyai waktu bertolak, waktu rehat dan waktu tidur pemandu sebelum menjalankan tugas untuk jarak jauh.
"Pada saya, jadual berwarta (untuk pemandu bas) itu sebenarnya adalah sesuatu yang wajib.
"Maksudnya jadual perjalanan setiap bas yang membawa penumpang perlu direkod dan disusun secara terperinci termasuk tempoh perjalanan, waktu rehat pemandu, serta keperluan berhenti bagi mengelakkan keletihan melampau.
"Pendekatan seperti itu penting bagi memastikan pemandu benar-benar bersedia secara fizikal dan mental, serta berada dalam keadaan fikiran yang stabil dan fokus sepanjang pemanduan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau yang juga Pengerusi TEKUN Nasional diminta mengulas mengenai saranan pihak tertentu berhubung tragedi yang berlaku pada awal pagi 9 Jun lalu iaitu sewaktu umat Islam menyambut perayaan Aidiladha.
Ditanya tentang cadangan mewujudkan sistem rekod laluan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) atau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi penetapan laluan sesuai pada waktu malam, beliau menyifatkan saranan itu sesuatu yang wajib.
"Wajib.. walaupun kena bayar tol, tapi keselamatan penumpang lebih terjamin.
"Kita berusaha dan usaha ini juga perlu diambil oleh kementerian yang berkenaan untuk memastikan bahawa laluan-laluan yang dinasihatkan, diikuti pemandu sekali gus mengurangkan risiko kemalangan," ujar beliau yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

Sementara itu, Pengerusi Biro Guaman KEADILAN Malaysia, R Sivarasa pula berpendapat, pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang seharusnya diwajibkan bagi membendung kejadian sama berulang.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi pada Isnin lalu, 15 pelajar disahkan meninggal dunia sementara 27 yang lain cedera.
Menurut laporan media, turut cedera adalah pemandu bas dan kelindannya yang berusia 54 tahun.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Terengganu ke Kampus UPSI di Tanjung Malim itu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki MPV terbabit terselamat dengan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Baling, Kedah.
Comments