PKORM kecam serangan ke atas Iran, sokong usul PM di Dewan Rakyat
- Redzuan Shamsudin

- 2 days ago
- 2 min read

Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran, serta sebarang konflik bersenjata tanpa mandat jelas daripada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.
Pengerusinya, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) berkata, tindakan tersebut melanggar prinsip asas kedaulatan negara seperti yang termaktub dalam piagam PBB serta undang-undang antarabangsa.
"Serangan terhadap Iran yang turut disokong oleh Amerika Syarikat jelas bertentangan dengan prinsip kedaulatan negara merdeka. Malaysia sendiri melalui Parlimen menegaskan perkara ini dalam usul yang dibawa," katanya dalam satu kenyataan.
PKORM turut menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap usul tergempar yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 2 Mac 2026, yang secara rasmi mengutuk tindakan serangan tersebut.
Menurut Mustapa, Malaysia melalui Parlimen telah menegaskan pendirian bahawa serangan unilateral tanpa mandat jelas PBB adalah bercanggah dengan hukum antarabangsa.
"Tindakan keganasan itu bukan sahaja mengakibatkan kematian ramai warga awam, tetapi juga mengancam kestabilan keseluruhan rantau Asia Barat dan keamanan dunia secara keseluruhan. Malaysia telah menuntut penghentian serta merta terhadap tindakan ketenteraan tersebut dan menyeru semua pihak kembali kepada mekanisme diplomatik," ujarnya.
Beliau berkata, PKORM menyokong penuh usaha Perdana Menteri membawa isu itu ke Dewan Rakyat sebagai tanda solidariti Parlimen Malaysia, termasuk saat renungan bagi menghormati mangsa konflik.
"Sejarah panjang campur tangan bersenjata oleh kuasa luar telah merosakkan tatanan antarabangsa dan menimbulkan kesan buruk berpanjangan kepada jutaan orang awam. Atas dasar itu, tindakan ini mesti ditolak sepenuhnya oleh dunia antarabangsa," katanya.
PKORM turut menyeru semua negara anggota PBB agar mengambil pendirian tegas bahawa serangan tentera unilateral tanpa mandat jelas adalah bertentangan dengan hukum antarabangsa.
Selain itu, pertubuhan itu menggesa Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam diplomasi antarabangsa untuk memulihkan keamanan dan menyokong penyelesaian melalui rundingan damai.




Comments