top of page

Jejak usahawan SKM: Daging Palembang, Ayam Rose Datin Faizah Laris 'Dahsyat'

  • Writer: Noraini Nordin
    Noraini Nordin
  • 17 minutes ago
  • 3 min read
Datin Faizah (dua dari kiri) memperkenalkan produk Daging Palembang, Ayam Rose bersama Wanita KEADILAN
Datin Faizah (dua dari kiri) memperkenalkan produk Daging Palembang, Ayam Rose bersama Wanita KEADILAN

Jejak Usahawan Bersama Sekretariat KASEH MADANI-SKM: Daging Palembang Dahsyat, Ayam Rose Dahsyat, adalah dua produk yang pantas menjadi tular sebaik sahaja dikomersialkan oleh pengasasnya Datin Faizah Ariffin kurang sebulan sebelum bulan Ramadan menjelma.


Produk istimewa resepi asli Datin Faizah yang lebih mesra dengan panggilan Faizah ini memiliki rasa yang amat enak, ezotik dan klasik.


Kedua produk tersebut, Ready To Eat (RTE) yang cepat laris kerana sajian tersebut amat memudahkan pengguna dan boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk yang berpendapatan rendah.


Langkah Faizah memperkenalkan produk tersebut menjelang bulan mulia amat bijak serta tepat pada masanya.


Tidak hairanlah mengapa Daging Palembang Dahsyat dan Ayam Rose Dahsyat mendapat permintaan tinggi serta menjadi `buruan’ untuk sajian berbuka atau bersahur.


Ada juga pelanggan yang menjadikan produk Faizah sebagai ‘gift’ untuk dihadiahkan kepada sahabat serta kenalan.


Potensi berkembang


Perniagaan tersebut dilihat berpotensi besar untuk berkembang pesat kerana produk RTE menepati gaya hidup yang pantas yang memerlukan makanan enak, berkualiti, mudah dibawa ke mana sahaja sebagai bekalan perjalanan.

Produk Ready To Eat digemari pelbagai peringkat umur
Produk Ready To Eat digemari pelbagai peringkat umur

Slot Jejak Usahawan Bersama Sekretariat KASEH MADANI (SKM) kali ini menyusuri usaha gigih yang dilakukan oleh Faizah untuk meningkatkan nilai produk serta mencapai impian melebarkan sayap bisnes menembusi pasaran tempatan hingga ke luar negara.


Bagi yang mengenali figura bernama Faizah, bidang bisnes bukanlah asing bagi wanita yang terkenal dengan sifat rajin, gigih serta fokus dalam mencanai kehidupan menuju kecemerlangan.


Wanita anggun yang memiliki pesonanya tersendiri telah memulakan perniagaan dalam bidang masakan sejak sepuluh tahun lalu.


Faizah bermula sebagai perunding perkahwinan yang menyediakan pakej lengkap termasuklah pelamin, tata rias pengantin sehinggalah perkhidmatan katering.


Selain daripada pakar memasak, Faizah mahir menghasilkan pelbagai jenis kek perkhawinan yang sesuai dengan tema majlis mengikut permintaan pelanggan.


Permintaan tinggi


"Bagaimanapun ketika bisnes sedang rancak, terpaksa diperlahankan kerana saya terlibat secara serius dalam politik dan juga sebagai aktivis masyarakat.


"Kini saya mahu bangkit semula menjadi usahawan berjaya. Sebagai permulaan saya mengeluarkan dua produk RTE ini secara `homemade’ .


"Alhamdulilah . Sambutan amat luar biasa. Permintaan tinggi daripada pelanggan menyuntik semangat saya untuk terus maju. Tambahan pula mendapat sokongan daripada keluarga, sahabat-sahabat rapat juga komuniti. Sokongan tersebut menjadi pemangkin semangat saya untuk terus berjaya," jelas Faizah dalam satu pertemuan dengan penulis di rumahnya baru-baru ini.


Sambil menjamu penulis dengan dua produk 'dahsyat' ini, Faizah berkongsi rahsia menghasilkan produk yang dapat menambat selera pelanggan.


Jelas beliau, bagi memastikan kualiti produk tersebut terpelihara, Faizah sendiri turun padang untuk membeli bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk menghasilkan Daging Palembang serta Ayam Rose tersebut.


Bahan segar, berkualiti tinggi


Memilih bahan-bahan yang segar serta berkualiti tinggi menjadikan Daging Palembang Dahsyat memiliki rasa yang enak, ezotik dan klasik.

Sesuai untuk dijadikan hadiah
Sesuai untuk dijadikan hadiah

Daging perlu direbus empuk. Antara bahan-bahan utama seperti bawang, halia, lengkuas, cili kering perlu dikisar untuk menghasilkan kuah pekat berwarna gelap serta mampu menaikkan menyelerakan.


Begitu juga dalam menghasilkan Ayam Rose Dahsyat iaitu menu paling istimewa resepi Faizah. Sajian tersebut popular serta digemari ramai kerana berkuah pekat, merah yang begitu sempurna dengan gabungan pedas, manis dan berlemak.


Kedua produk RTE tersebut sangat sesuai dimakan bersama pelbagai jenis nasi, roti, ketupat atau lemang.


Berkongsi cara menyediakan dua produk tersebut, jelas Faizah pembungkusan produk berkenaan menggunakan teknologi tinggi.


Beliau menggunakan mesin pembungkusan vakum (vacuum packaging) bagi memastikan produk kekal segar, bersih dan tahan lama tanpa bahan pengawet tiruan.


"Manakala Teknologi Retort (suhu tinggi) menggunakan mesin retort berfungsi membunuh bakteria bagi membolehkan makanan disimpan dalam suhu bilik (tanpa peti sejuk)," ujar Faizah.


Bagi memastikan Daging Palembang Dahsyat dan Ayam Rose Dahsyat dapat dinikmati semua golongan, kedua produk tersebut dijual dengan harga hanya RM13 untuk satu peket.


"Satu peket boleh dimakan sekurang-kurangnya untuk tiga orang. Sasaran saya supaya produt RTE ini mampu dibeli oleh semua golongan.


"Yang mahu membuat amal boleh juga menjadikan produk saya ini sebagai hadiah dalam bakul rahmah untuk dihadiahkan kepada golongan sasar," jelas Faizah dengan mesra.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page