top of page

Dakwaan konspirasi jatuh kerajaan uji ketahanan institusi, perpaduan negara

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Mar 5
  • 2 min read

Dakwaan konspirasi membabitkan individu berpengaruh tempatan dan sebuah agensi media antarabangsa untuk menjatuhkan kerajaan disifatkan sebagai isu serius yang boleh mengancam kestabilan sosial serta perpaduan negara.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata tuduhan seumpama itu bukan sahaja memberi kesan politik malah boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negara.


"Dakwaan seorang individu berpengaruh tempatan dan sebuah agensi media antarabangsa berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara boleh mengancam kestabilan sosial dan perpaduan rakyat," katanya dalam kenyataan.


David Cheong yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor mengingatkan tentang risiko rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi utama negara sekiranya dakwaan tidak berasas terus disebarkan tanpa bukti kukuh.


"Rakyat berisiko hilang keyakinan terhadap institusi negara. Parlimen, polis dan badan kehakiman pula berisiko terjejas kredibilitinya apabila dakwaan disebarkan tanpa bukti.


"Apabila rakyat hilang kepercayaan, kestabilan sosial goyah dan hubungan antara komuniti boleh terganggu," katanya.


David Cheong
David Cheong

Justeru itu, beliau menegaskan undang-undang mesti ditegakkan secara adil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak.


"Jika wujud usaha yang memudaratkan demokrasi berparlimen, pihak berkuasa perlu bertindak tegas berdasarkan fakta dan bukti.


"Keputusan untuk tidak menamakan mana-mana individu atau agensi pada peringkat ini menunjukkan polis menghormati prinsip keadilan jenayah," ujarnya.


Dalam hal ini, beliau menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan spekulasi yang belum disahkan.


"Saya menyeru rakyat supaya menolak spekulasi dan menunggu hasil siasatan dari pihak berkuasa. Jangan sebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan keresahan.


"Tindakan tidak bertanggungjawab akan merosakkan perpaduan. Setiap rakyat bertanggungjawab menghormati institusi dan memelihara perpaduan," katanya lagi.


Tambah beliau situasi semasa menguji tahap kematangan demokrasi negara.


"Ketahanan institusi dan perpaduan rakyat hanya dapat dipertahankan jika semua pihak bertindak berasaskan fakta, menghormati undang-undang dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan lain.


"Kesedaran, keharmonian dan tanggungjawab bersama adalah benteng utama bagi menangkis ancaman sebegini dan memastikan keamanan serta kemakmuran negara terpelihara," katanya.


Sebelum ini laporan media tempatan menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud usaha tertentu untuk menjatuhkan kerajaan melalui kerjasama dengan pihak luar termasuk media asing dan unsur yang dikaitkan dengan kepentingan Zionis.


Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana cubaan yang boleh menggugat kestabilan negara serta menegaskan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.


Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak agar tidak menjadi alat kepada agenda luar yang boleh merosakkan perpaduan nasional dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page