Perang Iran: AS-Israel cabul Piagam PBB, cetus konflik lebih besar
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Tindakan ketenteraan unilateral Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya Israel terhadap Iran mengakibatkan peningkatan ketidakstabilan serantau dan berisiko mencetuskan konflik yang lebih luas serta merosakkan, demikian menurut kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
Mengecam keras serangan tersebut, kumpulan NGO itu menyatakan serangan tanpa provokasi ke atas sebuah negara berdaulat sebagai melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kami dengan tegas mengecam serangan ketenteraan terkini yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara berdaulat Iran.
"Serangan dengan penggunaan kekerasan terhadap wilayah negara lain tanpa justifikasi yang sah ini mencabuli prinsip teras Piagam PBB yang dengan jelas melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap keutuhan wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara," kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi Eksekutif Polity Nurul Izzah Anwar, Pengerusi ASEAN Parliamentarians for Human Rights Charles Santiago dan Pengarah Eksekutif Third World Network Chee Yoke Ling.
Turut serta dalam kenyataan itu profesor perhubungan antarabangsa Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Afandi Salleh; Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari dan Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman.
Kumpulan itu berkata apabila negara-negara berkuasa melangkaui mekanisme keselamatan kolektif dan bertindak di luar kerangka undang-undang, mereka sebenarnya melemahkan sistem antarabangsa yang dibentuk untuk memelihara keamanan dan keselamatan.
Dalam pada itu, kumpulan tersebut melahirkan kebimbangan terhadap laporan pembunuhan bersasar terhadap pemimpin dan pegawai kanan Iran khususnya pada bulan Ramadan.
Kata mereka tindakan sengaja menyasarkan tokoh kepimpinan merupakan peningkatan krisis yang serius dan membawa implikasi undang-undang serta moral yang berat.
"Pembunuhan politik tidak boleh dinormalisasikan sebagai instrumen kenegaraan kerana penerimaannya akan menggugat hubungan antarabangsa dan meningkatkan kemungkinan konflik berpanjangan," kata kumpulan itu.
Pada saat yang genting ini, kumpulan aktivis itu menegaskan bahawa sikap menahan diri dan langkah meredakan ketegangan amat diperlukan.
Kumpulan tersebut mempersoalkan justifikasi tindakan ketenteraan pentadbiran Presiden Donald Trump memandangkan laporan menyebut pegawainya mengakui dalam taklimat tertutup bersama kakitangan Kongres bahawa tiada maklumat risikan menunjukkan Iran merancang untuk menyerang AS terlebih dahulu.
"Dakwaan tentang peluru berpandu oleh Trump tidak disokong oleh laporan risikan AS dan dilihat sebagai dibesar-besarkan, menurut sumber yang mengetahui kandungan laporan tersebut.
"Persoalan mengenai justifikasi peperangan timbul apabila pihak tentera AS mendedahkan korban pertama rakyat Amerika dalam konflik itu," ujar mereka.
Kumpulan itu turut menarik perhatian tentang tuduhan Parti Demokrat bahawa Trump melancarkan perang atas pilihan sendiri dan mempersoalkan hujahnya untuk meninggalkan rundingan damai yang menurut pengantara Oman, ia masih berpotensi membuahkan hasil.
"Kami menggesa Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB untuk bersidang tanpa berlengah, menuntut penghentian segera permusuhan serta mengambil langkah konkrit bagi mencegah peningkatan konflik," tegas mereka.
Perlindungan terhadap orang awam dan pematuhan ketat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti kekal sebagai keutamaan, kata mereka.
Ini kerana kata mereka laporan mengenai lebih 150 kanak-kanak terbunuh di Iran mengesahkan bahawa serangan terhadap Iran tidak menghindarkan orang awam.
Dalam pada itu kumpulan tersebut menggesa kerajaan Iran supaya menahan diri dan mengutamakan saluran diplomatik bagi mengurangkan ketegangan serta melindungi rakyatnya.
Kumpulan itu mengakui Iran mempunyai hak untuk menegaskan kedaulatan dan memastikan keselamatannya dalam batas undang-undang antarabangsa.
Namun, peningkatan tindak balas susulan serangan terkoordinasi Barat terhadap Iran berisiko memperdalam ketidakstabilan dan memperluas konflik, ujar mereka.
"Penglibatan melalui diplomasi pelbagai hala, langkah-langkah membina keyakinan dan dialog yang diperbaharui mampu menjadi laluan yang lebih mampan ke arah kestabilan," ujarnya.




Comments