Tragedi Gerik: Bas dalam keadaan memuaskan, tiada kerosakan teknikal
- Suara Keadilan

- Jun 14
- 2 min read

Laporan awal tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik yang mengorbankan nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikeluarkan hari ini mendapati bas malang tersebut tidak mengalami sebarang masalah teknikal serius yang boleh menyebabkan kemalangan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan oleh Puspakom, keadaan fizikal bagi brek bas, kesemua brake lining dan brake drum bagi semua gandar berada dalam keadaan yang memuaskan.
"Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada brake drum mahupun kenipisan pada brake lining. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan.
"Dari pemeriksaan fizikal tayar, didapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.
"Komponen bahagian steering dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan.
"Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, kemungkinan besar kemalangan itu berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya.
Justeru, kata beliau, langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan pihak kementerian dan dilaksanakan berdasarkan penemuan atau laporan akhir bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.
"Kementerian Pengangkutan ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami.
"Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.
"Kepada semua keluarga mangsa, kementerian merakamkan ucapan takziah dan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang," katanya lagi.
Untuk rekod, 48 mangsa terbabit dalam kemalangan tersebut, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital.
Penumpang bas adalah mahasiswa UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha.
Pemandu bas yang berusia 40 tahun dan pembantunya berusia 54 tahun disahkan cedera dalam kemalangan itu.
Turut cedera, pemandu dan penumpang MPV yang bertembung dengan bas terbabit iaitu sepasang suami isteri berusia berusia 37 dan 36 tahun serta dua anak mereka, seorang perempuan dan seorang lelaki yang berusia enam dan tiga tahun.









Comments