TPM tiada hak desak PM adakan PRU-16 awal - Hassan Karim
- Suara Keadilan

- 37 minutes ago
- 2 min read

Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendesak Perdana Menteri secara terbuka supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 diadakan dengan segera, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar).
Beliau berkata cara Jemaah Menteri berfungsi adalah berasaskan doktrin Tanggungjawab Bersama Menteri (Collective Ministerial Responsibility) dan tanggungjawab Menteri Secara Individu (Individual Ministerial Responsibility).
Menurutnya, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Jemaah Menteri bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.
"Di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen," katanya dalam satu kenyataan.
Hassan berkata soal pembubaran Parlimen dan penetapan masa PRU-16 merupakan perkara yang terletak di bawah kuasa prerogatif Perdana Menteri.
"Kuasa Perdana Menterilah untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihanraya Umum ke-16 sebagaimana Perkara 40(1) dan tertakluk Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata kedudukan seseorang menteri dalam Kabinet, termasuk jika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan merupakan presiden sebuah parti besar dalam kerajaan gabungan sekalipun, tidak memberikannya hak untuk secara terbuka mendesak PM mengadakan PRU-16 awal.
Menurut Hassan, sekiranya seseorang menteri tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri berhubung tempoh Parlimen ke-15, langkah yang wajar ialah mempertimbangkan kedudukannya dalam Kabinet.
"Sekiranya Menteri berkenaan dan parti politiknya tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri yang telah membuat keputusan sebelum ini bahawa PRU-16 akan diadakan sehingga tamat tempoh Parlimen ke-15, maka Menteri yang berkenaan jika bertegas tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri itu, maka perkara yang menasabah dan bermaruah yang perlu dilakukannya ialah dengan meletakkan jawatan sebagai seorang menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan bersesuaian dengan kehendak Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata tindakan terus berada dalam Kabinet sambil secara terbuka bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri boleh menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap doktrin Tanggungjawab Bersama Menteri.
Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi berkata lebih baik PRU16 diadakan lebih awal, berbanding tempoh penggal Parlimen yang hanya akan berakhir hujung tahun depan.
Namun, Zahid berkata jika penggal Parlimen tamat sehingga penghujungnya, gabungan itu bersedia menghadapinya.
"Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh.
"Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, maka kita juga bersedia menghadapinya," katanya dipetik.




Comments