Topeng 'politik baharu', terpalit dosa 'kekasih gelap' politik lama?
- Helmi Mohd Foad

- 13 minutes ago
- 2 min read

Bekas pemimpin kanan KEADILAN, Rafizi Ramli dilihat cuba membawa naratif kononnya beliau tampil sebagai wajah baharu politik negara menerusi Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) sedangkan hal itu didakwa kontradiksi apabila beliau sendiri merupakan antara arkitek utama kepada budaya politik gabungan dan percaturan kuasa yang pernah dikritiknya sebelum ini.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim (gambar) menyifatkan naratif dibawa itu tidak lebih daripada “skrip lama dengan wajah berbeza”.
"Saudara sebut politik yang diamalkan oleh PH, PN dan BN adalah politik ‘kekasih gelap’. Tetapi adakah saudara sedar atau buat-buat tidak sedar yang saudara dulu pun ada dan terlibat juga dalam politik ‘kekasih gelap’ ketika terbentuk Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan walaupun sekejap?" katanya dalam hantaran di Facebook.
Wan Anwar mempersoalkan naratif bahawa Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) digerakkan sepenuhnya oleh rakyat biasa dan bukan ahli politik sedangkan Rafizi sendiri adalah seorang ahli politik.
"Saudara sebut yang Parti Bersama Malaysia ditubuhkan dan digerakkan oleh rakyat biasa dan bukannya ahli politik. Tetapi sedarkah saudara atau saudara buat-buat tidak sedar yang saudara, sahabat saudara dan rakan-rakan saudara yang lain itu juga adalah seorang ahli politik daripada ‘order lama’ yang selepas ini akan menggerakkan parti tersebut," katanya.
Menurut beliau, realiti sistem politik terbuka di negara ini akan tetap membuka ruang kepada golongan oportunis untuk menyertai mana-mana parti baharu yang sedang meningkat.
Wan Anwar turut mengingatkan rakyat supaya lebih rasional dalam menilai kemunculan mana-mana gerakan politik baharu dan tidak terlalu terikat dengan faktor emosi atau simpati terhadap individu tertentu.
"Jangan dek kerana kita terlalu asyik dengan persona seseorang ahli politik dan teramat ‘menjiwai’ apa yang telah menimpanya dan rakan-rakan, sampai kita terlupa hakikat yang mereka juga tetap ahli politik yang boleh dan akan ‘spin’ bila mana keadaan tidak menyebelahi mereka," katanya.
Beliau menegaskan budaya politik lama tidak akan berubah hanya kerana pertukaran nama parti atau kemunculan wajah baharu dalam arena politik negara.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dalam era media terbuka hari ini kerana setiap ucapan boleh menjadi rekod sejarah pada masa depan.
"Saya amat berharap agar saudara dan rakan-rakan akan lebih berhati-hati ketika berbicara nanti kerana setiap bicara sudah pasti akan direkod dan dirakam serta akan menjadi arkib sejarah yang akan dibongkar pada masa akan datang," katanya.
Bgaimanapun bagi menghormati amalan demokrasi, beliau tetap menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada parti berkenaan dalam usaha membina negara yang lebih baik.
"Pun begitu, saya ucapkan selamat maju jaya kepada saudara, rakan-rakan dan Parti Bersama Malaysia dalam membina negara yang lebih baik," katanya.
Semalam media tempatan melaporkan Rafizi mengumumkan keluar parti dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) sebagai hala tuju baharu karier politiknya.
Beliau dan Nik Nazmi turut mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa.




Comments