Rafizi, Nik Nazmi masih terikat bon RM10 juta, dakwa Dr Fuziah
- Suara Keadilan

- 20 minutes ago
- 2 min read

Bekas Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa masih terikat dengan bon parti bernilai RM10 juta walaupun mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen masing-masing sebelum keluar parti.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) mendakwa pihaknya mempunyai bukti bahawa kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan dipercayai sudah menyertai Malaysian United Party (MUP) lebih awal berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman sesawang parti berkenaan.
Beliau mendakwa tindakan itu boleh dianggap sebagai lompat parti terlebih dahulu sebelum pengosongan kerusi dibuat hari ini sekali gus menyebabkan syarat bon parti masih berkuat kuasa.
"Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa mengumumkan bahawa pada 18 Mei, iaitu hari ini mereka akan kosongkan kerusi Parlimen masing-masing dan pada 19 Mei iaitu esok, mereka akan keluar parti.
"Itu cara mereka mengatakan bahawa Akta Anti Lompat Parti itu tidak terpakai. Tetapi saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk Parti Bersama Malaysia. Dalam ‘website‘ Bersama, ‘timestamp‘ (pendaftaran) pada 17 Mei," katanya dipetik Malaysia Gazette.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, KEADILAN menyerahkan perkara itu kepada pasukan peguam parti sebelum sebarang tindakan undang-undang diputuskan.
Beliau berkata, isu terbabit dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik KEADILAN esok termasuk kemungkinan menentukan tindakan terhadap kedua-dua bekas pemimpin parti berkenaan.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi hari ini mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Semalam, kedua-dua pemimpin itu mengumumkan keluar daripada KEADILAN sebelum menyertai Malaysian United Party (MUP) atau BERSAMA.
Kedua-dua bekas pemimpin kanan KEADILAN itu mengambil alih parti tersebut bagi dijadikan platform politik baharu mereka selepas meninggalkan parti berkenaan.
Rafizi dilaporkan menegaskan beliau dan Nik Nazmi tidak terikat dengan bon RM10 juta yang dikaitkan dengan KEADILAN susulan keputusan mereka meninggalkan parti itu.
Menurut beliau, langkah mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa terlebih dahulu menjadi faktor utama mereka tidak tertakluk kepada tindakan berkenaan.
Katanya, bon itu hanya terpakai sekiranya seseorang Ahli Parlimen keluar parti dan menyertai parti lain tanpa melepaskan kerusi yang dimenangi atas tiket KEADILAN.




Comments