Tolak perang saraf media kelirukan rakyat pasca 13 Oktober



Perang saraf media mengelirukan rakyat Malaysia pasca majlis mengadap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober lalu semakin menjadi-jadi.


Timbul spekulasi di luar lunas Perlembagaan Persekutuan kononnya Agong perlu melantik Perdana Menteri interim dan sebagainya semata-mata mahu menafikan fakta bahawa Datuk Seri Anwar telah pun memiliki majoriti sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat.


Sehubungan itu, Gabungan Reformasi Malaysia (GRM) menolak perang saraf media yang digerakkan melalui blog, laman web atau media sosial yang pro kerajaan Perikatan Nasional


Menurut Jurucakap GRM, Mustaffa Kamil Ayub, usaha mengelirukan rakyat bagi mengumpul pendapat menentang Datuk Seri Anwar tersebut merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.


"GRM menginsafi wujudnya perang saraf dan meningkatnya serangan politik terhadap Datuk Seri Anwar setelah diterima mengadap KDYMM Tuanku pada 13 Oktober 2020.


"Kami ingin mengulangi pendirian bahawa dengan sesi mengadap KDYMM Tuanku serta penyerahan dokumen sokongan oleh Datuk Seri Anwar menandakan proses perlantikan PM9 Malaysia mengikut lunas Perlembagaan telah pun bermula dengan lancar dan baik.


"GRM faham dalam senario yang ada, kesemua pimpinan politik yang terlibat dalam episod ini adalah daripada kalangan yang senior dalam politik Malaysia dan antarabangsa. GRM yakin kesemuanya sedia memegang amanah mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta mempertahankan akhlak politik yang baik," katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu, GRM turut menolak propaganda media arus perdana dan media sosial yang menggambarkan Datuk Seri Anwar tamak serta gila kuasa kerana ingin menukar kerajaan dalam suasana pandemik Covid 19.


Menurut Mustaffa, Datuk Seri Anwar merupakan pemimpin yang matang dan amat bersabar menanti gilirannya menjadi PM selama 22 tahun. Justeru, tuduhan yang dilemparkan merupakan tohmahan semata-mata.


"GRM yakin Datuk Seri Anwar adalah ahli politik yang matang dengan daya tahan dan daya juang politiknya, serta telah teruji sekian lamanya. Tidak timbul soal beliau gelojoh dan seumpamanya dalam proses ini.


"Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menapis maklumat-maklumat yang disebarkan. Marilah sama-sama kita membawa budaya "Politik Berakhlak" dalam menangani krisis politik negara hari ini.


"GRM juga menyeru seluruh rakyat Malaysia terus bertenang, memperbanyakkan doa dan solat hajat agar Allah swt menganugerahkan keselamatan dan kesihatan ke Bawah DYMM Tuanku. Marilah kita bersama terus mendoakan keselamatan, keamanan dan kemakmuran buat negara dan rakyat Malaysia seluruhnya serta diselamatkan daripada pandemik Covid-19," katanya lagi.


GRM terdiri daripada 12 NGO reformasi dan memperjuangkan perubahan total buat rakyat Malaysia.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio