'Tolak peletakan jawatan Loke, khidmat diperlukan hadapi suasana mencabar'


Walaupun saya memahami dan menghormati tujuan Loke meletak jawatan, hakikatnya PM memerlukan khidmat beliau dalam suasana yang mencabar ini
Peletakan jawatan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan seharusnya ditolak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kerajaan terus mendapat khidmat menteri berprestasi dalam menghadapi cabaran politik sehingga tamat penggal Parlimen.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, sejak hari pertama dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, Loke telah menjalankan tugas dengan baik, tanpa melakukan sebarang tindakan yang dianggap sebagai ‘sakau’ atau khianat di samping melaksanakan beberapa dasar yang memudahkan kehidupan rakyat.
Beliau berkata, Anthony Loke juga tidak pernah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan kerajaan, justeru tiada sebab untuk Perdana Menteri menerima peletakan jawatannya meskipun berdepan kemungkinan provokasi dalaman daripada menteri dan timbalan menteri Umno-BN, susulan tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyampaikan pantun berunsur sindiran di Dewan Rakyat semalam.
"Walaupun saya memahami dan menghormati tujuan Loke meletak jawatan, hakikatnya PM memerlukan khidmat beliau dalam suasana yang mencabar ini.
"Keperluan tersebut mengatasi segala pertimbangan lain. Sehubungan itu saya menyeru Datuk Seri Anwar selaku PM agar menolak peletakan jawatan ini dan mengarahkan Loke meneruskan tugasnya sehingga habis penggal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, hari ini.
Pantau anggota Kabinet Umno-BN
Dalam pada itu, Khalid turut menggesa Anwar supaya memantau prestasi dan tingkah laku menteri serta timbalan menteri Umno-BN, selain menggantikan mereka dengan individu yang lebih komited dan bertanggungjawab sekiranya didapati mengkhianati kerajaan atau gagal menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh.
Katanya, sebagai contoh, Datuk Seri Ahmad Maslan boleh digantikan dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, yang merupakan seorang jurutera dan lebih daripada layak untuk mengambil alih jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya.
Dalam sidang media sama, Khalid turut membacakan pantun sebagai jawapan kepada pantun Ahmad Maslan yang menyindir parti komponen Kerajaan Perpaduan semalam.
“Gunakan payung semasa hujan,
Payung biru berselang hijau,
Kalau tak suka kepada kerajaan,
Keluar cepat tak perlu dihalau.”




Comments