Tolak kerjasama dengan DAP: 'BN Johor, BN Pusat tidak konsisten' - AMK
- Suara Keadilan

- 3 minutes ago
- 2 min read

Tindakan Barisan Nasional (BN) Johor yang menolak berkerjasama dengan DAP menimbulkan kekeliruan serta persoalan mengenai konsistensi pendirian politik parti itu, menurut Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
Exco AMK Pusat, Jalex Lee berkata, realitinya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan melibatkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, termasuk DAP sebagai komponen utama dalam gabungan tersebut.
"Agak mengelirukan apabila melihat kenyataan seperti ini (BN Johor tolak kerjasama dengan DAP)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, realitinya kerajaan sedia ada di peringkat Persekutuan berjaya mengekalkan kestabilan politik selain memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat adalah dengan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) yang mengandungi DAP.
Pada masa sama, beliau juga membangkitkan situasi di Johor yang sebelum ini diperintah BN dengan majoriti lebih dua pertiga tiba tiba membubarkan DUN seolah olah wujud krisis politik yang menggugat kerajaan dan tiada penjelasan relevan diberikan BN mengapa pembubaran awal berlaku.

"Pada masa sama, Kerajaan Negeri Johor yang dibubarkan pada 1 Jun hari itu pula tidak melibatkan PH, malah BN mempunyai majoriti lebih dua pertiga dengan 40 daripada 56 kerusi," katanya.
Hal itu, kata Jalex Lee menimbulkan persoalan mengenai rasional tindakan serta perbezaan pendekatan antara peringkat negeri dan Persekutuan.
"Jika tujuan sebenar bukan untuk menggugat kestabilan kerajaan yang sedang berusaha membangunkan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat, maka penjelasan yang jelas wajar diberikan," tegasnya.
Beliau yang juga Ketua AMK Tebrau mendakwa tindakan tersebut dilihat lebih cenderung kepada percaturan kuasa yang dirancang BN untuk meneruskan pemerintahan di Johor secara solo.
"Setakat yang dapat dilihat, tindakan ini lebih kelihatan didorong oleh percaturan kuasa dan kepentingan politik berbanding kepentingan rakyat," katanya.
Tambah beliau, kejelasan pendirian amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik dan hala tuju pentadbiran negara terus terpelihara.




Comments