Ketua Wanita KEADILAN Fuziah Salleh menjunjung kasih ke atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam yang menolak cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytihar darurat ke seluruh negara.
Menurut Fuziah, Yang di-Pertuan Agong telah melakukan tindakan yang tepat mendahulukan kepentingan rakyat yang dijangka akan terjejas teruk sekiranya darurat dikuatkuasakan.
"Saya menjunjung kasih di atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu yang menolak permohonan pengisytiharan darurat daripada Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
"Seluruh rakyat Malaysia sudah pasti berasa lega dengan keputusan itu setelah beberapa hari rakyat berada dalam kegelisahan mengikuti perkembangan permohonan dari Perdana Menteri.
"Terutamanya, kita sekarang perlu berganding bahu memerangi penularan semula (gelombang ketiga) pandemik Covid19 yang telah menyebabkan kerencatan usaha pemulihan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.
"Wanita KEADILAN dengan ini menjunjung titah Baginda untuk nekad dalam menangani ancaman wabak Covid-19 dan akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha-usaha bagi tujuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong telah menolak cadangan mengisytihar darurat dengan alasan tiada keperluan untuk menggunakan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan tersebut dalam waktu kerajaan masih mampu menangani ancaman wabak Covid 19 dengan cara-cara pencegahan sedia ada.
Comments