Tolak cubaan sogokan PM, Mahiaddin mesti letak jawatan - Dr Maszlee


Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin tidak perlu menyogok Ahli Parlimen pembangkang dengan pelbagai tawaran sebagaimana disiar dalam kenyataan di media beliau, semalam.


Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Malik, perbuatan Mahiaddin itu bukan sahaja telah menyalahi undang-undang tetapi memalukan pentadbirannya kerana menawarkan rasuah secara terbuka.


"Saya, Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Simpang Renggam yakin perutusan khas Tan Sri Mahiaddin adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan.


"Tan Sri Mahiaddin juga mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang dan menawarkan rasuah secara terbuka dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia.


"Setelah diberi peluang oleh Yang di Pertuan Agong lebih setahun, Tan Sri Mahiaddin tetap gagal mendapat sokongan majoriti sehingga terpaksa menawar sogokan secara terbuka.


"Apa yang dilakukan oleh Tan Sri Mahiaddin itu jelas merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 21 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Mantan Menteri Pendidikan itu mengingatkan Mahiaddin bahawa di bawah seksyen 21 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), “Mana-mana orang yang menawarkan kepada seseorang pegawai manamana badan awam..., apa-apa suapan sebagai suatu dorongan atau upah supaya — (a) pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam itu bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan awam itu; (maka) melakukan suatu kesalahan...”


Katanya, Seksyen 3 Akta 694 secara jelas mendefinisikan ‘Pegawai Badan Awam’ antara lain sebagai Ahli Parlimen dan ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri.


Lebih dari itu, tambah Dr Maszlee, apabila Tan Sri Mahiaddin berkata “tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” menunjukkan PM cuba meremehkan fungsi Yang di-Pertuan Agong dalam soal menentu sahkan kerajaan.


"Beliau dengan jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.


"Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen Bebas di bawah Pakatan Harapan (PH), saya mengambil pendirian bersama PH untuk menolak keras segala tawaran Tan Sri Mahiaddin kerana tindakan beliau ini menghalalkan politik wang untuk kekal berkuasa.


"Anehnya beliau mengutarakan beberapa agenda reformasi sedangkan agenda paling penting bagi reformasi politik ialah

menghapus politik wang. Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau," katanya.


Tegas Dr Maszlee, beliau memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19 daripada terpengaruh dengan tawaran kewangan.


Sleian itu, beliau juga yakin PH dan parti-parti pembangkang lain mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, dan pendidikan yang dipinggirkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian mereka.


"Berdasarkan keadaan pendidikan negara setelah setahun lebih kerajaan PN memerintah, saya khuatiri jika dibiarkan ia terus memerintah, pendidikan anak-anak dan siswa pengajian tinggi akan bertambah teruk dan rosak.


"Demi menyelamatkan pendidikan dan masa depan anak-anak bangsa, saya memilih untuk tidak memberikan lagi peluang kepada kerajaan yang gagal ini untuk terus berkuasa dan merosakkan sektor pendidikan," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER