Tolak budaya LGBT, junjung titah Sultan Selangor - Ust Shamsul Ma’arif
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 1 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor menegaskan pendirian tegas menolak budaya dan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam, nilai budaya tempatan serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, khususnya dalam konteks masyarakat Islam dan majmuk di negeri ini.
Naib Pengerusi AMANAH Selangor merangkap Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat, Ustaz Shamsul Ma’arif Ismail (gambar) berkata, hubungan yang diterima oleh syarak hanyalah hubungan antara lelaki dan perempuan melalui ikatan perkahwinan bagi memelihara fitrah, maruah insan, keturunan serta keharmonian sosial.
"Sebarang hubungan yang menyimpang daripada kerangka syarak tersebut adalah melampaui batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas isu penganjuran program “Glamping” di Hulu Langat yang dilaporkan melibatkan unsur promosi LGBT, AMANAH Selangor menyatakan bantahan keras terhadap sebarang bentuk penganjuran, promosi atau usaha menormalisasikan gaya hidup songsang berkenaan di Negeri Selangor.
"Amanah Selangor menegaskan bantahan keras terhadap sebarang bentuk penganjuran, promosi atau normalisasi gaya hidup songsang tersebut di Negeri Selangor," tegas beliau.
Dalam pada itu, AMANAH Selangor turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian serta titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor, yang menzahirkan bantahan terhadap sebarang bentuk promosi, aktiviti dan budaya LGBT.
Sehubungan itu, AMANAH Selangor menyeru rakyat agar menjauhi kumpulan, amalan dan pengaruh yang menormalisasikan gaya hidup LGBT, sebaliknya memperkukuh pegangan akidah, akhlak serta institusi kekeluargaan melalui pendidikan, bimbingan dan persekitaran sosial yang sihat.





