
Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini Kerajaan Perpaduan menyediakan hadiah berupa pengecualian bayaran tol melibatkan 33 lebuh raya.
Hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah hari tadi.
"Kerajaan bersetuju melaksanakan Tol Rahmah Percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati oleh semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini. Tol Rahmah Percuma akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan juga pada 24 April 2023 (Isnin).
"Pelaksanaan Tol Rahmah Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan. Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung," katanya.

Berkenaan penguasaha Menu Rahmah pula, Kerajaan Perpaduan amat menghargai sumbangan para pengusaha Menu Rahmah yang sama-sama menjayakan aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Sehubungan itu, kerajaan menawarkan pembelian harga bahan mentah makanan yang lebih rendah kepada pengusaha Menu Rahmah terbabit.
"Kerajaan prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah.
"Oleh hal yang demikian, bagi memastikan kelestarian inisiatif Menu RAHMAH, Kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih telah bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.
"Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu Rahmah yang telah memberikan manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan," katanya lagi.