top of page

Tokoh keselamatan sahkan ART AS-M'sia tidak gugat kedaulatan negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

ree

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan kedaulatan negara dengan beberapa tokoh keselamatan negara menegaskan bahawa tiada sebarang klausa menunjukkan kerajaan telah menggadaikan prinsip tersebut.


Penelitian yang mereka lakukan terhadap isi kandungan dokumen perjanjian tersebut menunjukkan semua kepentingan nasional kekal terpelihara.


Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin berkata mukadimah perjanjian itu secara jelas menyebut kedua-dua negara berkongsi nilai bersama, menghormati kedaulatan dan kemakmuran ekonomi masing-masing.


"Terdapat persepsi kononnya kita perlu mendapat kelulusan AS untuk membeli sesuatu (perolehan) namun klausa 'shall consult' dalam perjanjian itu bermaksud kita berunding, bukan bermakna kita mesti mendapat kelulusan daripada AS.


“Jika Malaysia atau AS tidak bersetuju kerana kepentingan negara masing-masing, maka kita berhak untuk membatalkan perjanjian tersebut, jadi di manakah maksudnya yang dikatakan bahawa kedaulatan negara kita tergadai,” katanya dipetik kepada pemberita selepas sesi taklimat itu mengenai perjanjian tersebut di Kuala Lumpur semalam.


Zulkifeli berkata proses sewajarnya juga telah dilakukan termasuk diteliti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Peguam Negara dan Jemaah Menteri sebelum perjanjian tersebut ditandatangani.


“Saya berpandangan proses sewajarnya telah dipatuhi sepenuhnya dan yakin Pejabat Peguam Negara tidak akan sesekali menggadaikan kedaulatan negara apatah lagi MITI yang dianggotai oleh pegawai tadbir dan diplomatik berpengalaman... mustahil kita akan menggadaikan kedaulatan negara dengan sewenang-wenangnya,” jelas beliau.


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang turut hadir taklimat itu berkata penjelasan MITI telah merungkai kebimbangan mengenai tuduhan bahawa ART memberi kesan terhadap kedaulatan negara ini.


Malah kata beliau, mukadimah perjanjian itu mewujudkan situasi saling menguntungkan kepada Malaysia dan AS selain memberi kepastian kepada sektor perniagaan untuk menembusi pasaran AS.


“Perkara ini akan meningkatkan atau menjana ekonomi syarikat-syarikat dan ekonomi negara,” katanya.


Dalam pada itu, Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia Md Shah Yassin menyifatkan perjanjian berkenaan tidak mencemarkan maruah negara malah memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.


"Sebagai seorang yang berkhidmat dalam komando selama 22 tahun, saya tidak nampak kedaulatan negara kita tergadai melalui penjelasan yang diberikan," katanya.


Terdahulu, taklimat terperinci berhubung ART disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Datuk Mastura Ahmad Mustafa selama lebih sejam di Menara MITI.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page