top of page

Tok Min Perlu Main Peranan Lebih Besar

  • Writer: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
    Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan diterima dengan penuh keredaan oleh semua anggota KEADILAN, keputusan yang telah dimuktamadkan oleh pengundi Negeri Sembilan dihormati walaupun sedikit dikesali. Ternyata pengundi Negeri Sembilan memilih Politik Identiti berbanding Politik Prestasi.


Prestasi kejayaan Kerajaan PH di bawah pimpinan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun (Tok Min) berbanding pencapaian kerajaan sebelumnya tidak berjaya menambat kepercayaan dalam kalangan pengundi Negeri Sembilan. Keputusan itu telah menjadikan gabungan PN-BN berjaya membentuk kerajaan baru Negeri Sembilan pada tanggal 2 Ogos 2026.


Menjelang Pilihan Raya Umum ke 16


Keadaan ini secara tidak langsung dijadikan hujah oleh sesetengah pihak bahawa rakyat Negeri Sembilan menolak kepimpinan Tok Min. Justeru mungkin sudah sampai masanya KEADILAN dan PH Negeri Sembilan diterajui oleh muka baharu serta mampu menjadi daya penarik pengundi Negeri Sembilan dalam menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 akan datang.


Pertimbangan ini wajar dilakukan kerana ia turut disuarakan oleh enam ketua cabang daripada Negeri Sembilan semasa Kongres Nasional KEADILAN 2026 (Negeri Sembilan mempunyai lapan cabang keseluruhan). Sudah pasti pertimbangan tersebut dimajukan oleh ketua-ketua cabang di Negeri Sebilan tanpa niat untuk meremehkan pencapaian Tok Min yang berjaya mengepalai Kerajaan PH Negeri Sembilan dengan cemerlang.


Namun selera dan kehendak pengundi yang mungkin mahukan wajah segar wajar diperhalusi, PH mungkin ditolak sekali lagi di Negeri Sembilan sekiranya kehendak pengundi tidak dipertimbangkan.


Tanggungjawab berat


Tok Min kini merupakan Naib Presiden KEADILAN yang juga dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Biro Latihan dan Akademi KEADILAN di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Tok Min mempunyai tangungjawab berat untuk melatih jentera-jentera KEADILAN bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-16. Fokus beliau seharusnya ditumpukan diperingkat pusat bagi membantu PMX mempertahankan Kerajaan Madani untuk penggal kedua.


Mengekalkan Tok Min di Negeri Sembilan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) pada ketika ini bakal menganggu gerak kerja beliau di peringkat pusat. Tanggungjawab untuk menyusun semula gerak kerja kepimpinan KEADILAN Negeri Sembilan dan pada masa yang sama membantu mempertahankan Kerajaan Madani peringkat persekutuan adalah tugas yang mencabar untuk dipikul oleh seorang individu.


Enam ketua cabang KEADILAN Negeri Sembilan telah menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja wajah baru untuk mempengerusikan MPN. Keterbukaan dinyatakan atas asas PH Negeri Sembilan pada masa akan datang memerlukan pimpinan baharu yang tidak mempunyai bebanan hubungan dengan gabungan politik lain.


Kerajaan BN-PN rapuh


Realitinya pada masa akan datang PH mungkin perlu bekerjasama dengan gabungan politik lain sekiranya mahu kembali memerintah Negeri Sembilan.


Kerajaan BN-PN yang terbentuk sekarang kelihatan sangat rapuh, pertembungan dalaman Umno untuk mengisi kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan menjadikan kerajaan tersebut menghadapi masalah semenjak hari pertama ia ditubuhkan. Tidak mustahil Kerajaan BN-PN ini boleh runtuh sebelum tempoh matangnya.


KEADILAN harus bersiap sedia dari sekarang, penyusunan kepimpinan KEADILAN sebagai tulang belakang PH tidak boleh dilengahkan. Melewatkan penstrukturan semula kepimpinan KEADILAN di Negeri Sembilan akan menyukarkan peluang untuk kembali semula ke tampuk pemerintahan pada masa akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page