'Tok Min lari ke DUN Linggi': Tok Mat tidak matang berpolitik - Saifuddin Shafi
- Suara Keadilan

- Jul 16
- 2 min read

Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang mempersenda keputusan Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di DUN Linggi menyerlahkan watak sebenar seorang ‘pembuli politik’.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menegaskan bahawa kenyataan tidak matang pemimpin senior UMNO itu tidak mencerminkan teladan yang baik, khususnya sebagai seorang menteri dalam Kerajaan Persekutuan.
"Tok Mat tidak sepatutnya memperlekeh keputusan Tok Min bertanding di Linggi. Sebagai seorang menteri Persekutuan, beliau seharusnya berhujah mengenai dasar, rekod pentadbiran dan tawaran kepada rakyat, bukannya mempersenda strategi politik pihak lawan.
"Kalau benar-benar yakin, tidak perlu risau siapa calon PH atau di mana mereka bertanding. Tumpukan sahaja usaha mempertahankan Rantau," katanya dipetik MalaysiaGazette.
Saifuddin sementara itu membandingkan keberanian Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan untuk bertanding di Linggi, kerusi yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN).
Langkah itu jelasnya membuktikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu bersedia menghadapi cabaran baharu, berbeza dengan Tok Mat yang kekal dalam kubu tradisinya di Rantau.
"Tok Mat hanya menjadi jaguh kampung yang terus bertanding di Rantau walaupun pernah memegang jawatan kanan dalam kerajaan dan parti," tegasnya.
Menerusi laporan sama Saifuddin juga mengingatkan Mohamad supaya tidak terlalu selesa dengan kerjasama politik 'buang tabiat' bersama Pas.
Sambil mengingatkan kembali Mohamad Hassan kepada pesanan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Pas bukan rakan yang boleh dipercayai, namun Umno anehnya kembali mempercayai parti itu.
Saifuddin juga memberi amaran jangan kerana rakus mengejar kuasa politik yang bersifat sementara, akhirnya tindakan itu mempertaruhkan kepentingan negeri dan negara.
"Rekod pentadbiran Aminuddin (sebaliknya) membuktikan Negeri Sembilan berada pada landasan lebih baik menerusi pencapaian dalam aspek pelaburan, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat serta kestabilan pentadbiran berbanding era pentadbiran Mohamad Hasan sendiri," tegasnya.




Prestasi Tok Min selama ini sebagai MB N9 menjadi bukti bahawa beliau cemerlang sebagai pemimpin. Di mana beliau bertanding itu hak beliau.