Tok Min buktikan pemimpin KEADILAN tidak takut ambil risiko
- Suara Keadilan

- Jul 19
- 1 min read

Keputusan Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di DUN Linggi, meskipun terpaksa meninggalkan kerusi yang dianggap selamat merupakan lambang keberanian pemimpin KEADILAN.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, risiko diambil Menteri Besar itu bukan sekadar strategi pilihanraya, malah mencerminkan budaya perjuangan dalam parti yang mengutamakan amanah dan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
"Pemimpin KEADILAN tidak memilih jalan mudah. Apabila parti memerlukan, mereka akan menyahut cabaran walaupun terpaksa meninggalkan kerusi yang dianggap selamat.
"Semangat seperti inilah yang menjadi kekuatan parti sejak dahulu. Sebab itu Keadilan terus berdiri teguh walaupun melalui pelbagai cabaran dan serangan politik," katanya dipetik laporan media.
Beliau turut mengimbau kepada tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang akur dengan keputusan parti untuk bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 meskipun berdepan cabaran besar menentang penyandang ketika itu.
Sementara itu menerusi hantaran di laman Facebooknya Saifuddin menyifatkan kehadiran penyokong pada hari penamaan calon semalam bukan sekadar memberi sokongan kepada calon.
Saifuddin menyifatkan ia membawa mesej jelas bahawa rakyat mahu kesinambungan pentadbiran yang stabil, bersih dan berintegriti diteruskan di Negeri Sembilan.
"Rakyat hadir dengan satu harapan iaitu mahu melihat kerajaan yang bekerja untuk mereka terus diberi mandat.
"Sokongan terhadap kepimpinan Tok Min bukan sahaja tidak goyah, malah semakin membara kerana rakyat mahukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan pentadbiran yang berintegriti diteruskan," ujarnya.




Comments