Tok Min beratur bersama rakyat tunai tanggungjawab beri mandat baharu
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun tidak membezakan kedudukannya sebagai pemimpin negeri dan parti apabila turut beratur bersama-sama rakyat jelata untuk menunaikan tanggungjawab memberikan mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.
Beliau hadir mengundi di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar bagi DUN Sikamat yang pernah diwakilinya sebelum ini.
Aminuddin yang berbaju kemeja merah tiba kira-kira pukul 8.33 pagi.
Bagaimanapun pada PRN kali ini beliau bertanding di DUN Linggi.
Turut hadir mengiringi beliau ialah calon PH DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Anthony Loke yang bertanding di DUN Chennah mengundi di SJK (C) Kelpin, Seremban sekitar pukul 11.30 pagi, lapor media tempatan.
Seramai 859,760 pengundi biasa bakal menentukan mandat bagi kerajaan Negeri Sembilan yang baharu hari ini apabila keseluruhan 401 pusat mengundi mula dibuka pada pukul 8 pagi ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menempatkan seramai 15,344 pegawai bertugas akan membuka pusat-pusat mengundi tersebut sehingga pukul 6 petang ini.
Sehingga pukul 10 pagi ini SRR merekodkan seramai 156,678 pengundi atau 18.22 peratus telah keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Kadar tertinggi melibatkan DUN Klawang, Seri Menanti dan Chennah masing-masing hamper 22 peratus manakala yang terendah melibatkan Chuah, Gemas dan Lukut iaitu bawah 17 peratus.

BERITA LANJUT MENYUSUL




Comments